Bola Sepak Semasa Terkini

Verdon tamatkan tanggungjawab dalam Sabah FC

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 

Verdon Bahanda memaklumkan keputusannya  yang diambil selepas pertemuan dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

 

AHLI perniagaan Datuk Verdon Bahanda mengesahkan bahawa beliau tidak lagi menjalankan tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Sabah Football Club Sdn Bhd (Sabah FC) , serta telah melepaskan semua tanggungjawabnya  dalam kelab bola sepak itu.

Verdon berkata keputusan itu dibuat setelah beliau mengadakan pertemuan dengan Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memaklumkan keputusan  SAFA untuk merombak kepimpinan dalam persatuan itu dan Sabah FC.

“Dalam pertemuan tersebut, saya dimaklumkan SAFA akan membayar balik semua perbelanjaan yang telah saya keluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini yang tidak menyatakan jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan beliau.

Bagaimanapun, Verdon berkata beliau hanya akan menandatangani semua dokumen penyerahan hak kepentingannya dalam Sabah FC kepada SAFA dan peletakan jawatan selepas mendapat bayaran balik daripada SAFA untuk semua perbelanjaan berkenaan.

Verdon berkata walaupun beliau pemilik terbesar dalam Sabah FC iaitu mempunyai pegangan sebanyak 70 peratus berbanding SAFA memiliki 30 peratus, beliau masih perlu mendapatkan mandat daripada semua pihak berkepentingan dalam Sabah FC untuk membuat keputusan kritikal dan besar.

Beliau berkata semua usaha dilakukannya ketika bersama Sabah FC adalah usaha membaiki segala kelemahan yang ada dan demi kebaikan bola sepak Sabah walaupun mungkin sebahagian keputusan dibuatnya di luar norma kebiasaan rentak pengurusan pasukan sebelum ini.

Verdon turut memohon maaf kepada pemain dan penyokong Sabah FC kerana terpaksa meninggalkan pasukan itu terlalu awal, selain meminta maaf terhadap segala kesilapan yang dilakukannya ketika mengendalikan  Sabah FC.

“Anda adalah permata yang cukup berharga dan saya percaya anda semua akan terus menabur bakti kepada pasukan Sabah tercinta kita. Janganlah jadikan kemelut dalaman pengurusan ini sebagai batu halangan untuk anda mencapai kejayaan,” katanya. -Bernama–


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: