Bola Sepak Semasa Terkini

MFL umum calon lima kategori ABK 2020

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

40 pemain dan 10 jurulatih telah disenarai pendek untuk bersaing dalam lima kategori yang dipertandingkan pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK20) Virtual pada 30 Disember.

Lima kategori terbabit ialah Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik dan Jurulatih Terbaik.

Mereka ini telah disenarai pendek oleh Jawatankuasa Saringan ABK20 Virtual selepas menilai prestasi 567 jumlah keseluruhan pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia termasuk pemain muda yang berdaftar di Piala Presiden dan Piala Belia.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hanya 344 pemain sahaja memenuhi kriteria yang ditetapkan iaitu beraksi sekurang- kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan perlawanan Liga Malaysia bagi musim 2020.

“Apa yang menarik ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.

“Konsep undian penyokong diambil kira memandangkan perlawanan musim ini terpaksa disingkatkan akibat pandemik COVID-19 dengan saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier berlangsung separuh pusingan, manakala Piala FA dan TM Piala Malaysia dibatalkan.

“Bagaimanapun pemenang bagi Anugerah Pasukan Terbaik yang turut dipertandingkan dalam ABK20 Virtual akan ditentukan oleh Jawatankuasa Teknikal,” ujarnya.

Jelasnya, senarai 10 calon yang terpilih bagi setiap kategori ini akan dihantar kepada juri profesional yang terdiri daripada 24 ketua jurulatih, 24 ketua pasukan dan 24 wakil media bagi menyumbang 70 peratus kiraan mata.

“Sementara baki 30 peratus kiraan mata ABK20 Virtual akan diundi oleh penyokong menerusi undian di platform Elfo bermula jam 10 pagi esok (21 Disember 2020) sehingga Jumaat (25 Disember 2020) 11.59 malam.

“Penyokong boleh mengundi di platform Elfo menerusi pautan yang akan MFL paparkan di laman media sosial Facebook, Instagram dan Twitter MFL esok.

“Pemenang akan dimuktamadkan daripada 70 peratus kiraan mata juri profesional dan 30 peratus kiraan mata undian peminat,” katanya.

Pada majlis ABK20 Virtual itu nanti, pihak MFL turut akan menyampaikan pemenang Kasut Emas 2020 dan Penjaring Terbanyak CIMB Liga Super 2020 iaitu Ifedayo Omosuyi yang meledak 12 Gol bersama Selangor.

Shahrel Fikri yang mengumpul 10 gol bersama Perak akan menerima Anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan CIMB Liga Super 2020 manakala penyerang Pulau Pinang Casagrande yang menghasilkan 9 gol dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak Liga Premier 2020.

Turut mencuri perhatian, penyerang muda Selangor 2 Danial Asri yang meraih gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier 2020 dengan ledakan 7 gol.

 

 

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: