PEMAIN muda Pahang, Nik Muhammad Sharif Haseefy sah menyertai Selangor FC musim depan.
Selangor sebelum ini telah membawa masuk Shahrel Fikri, Tim Heubach dan R Dinesh.
Lebih dikenali Nik Sharif , pemain tengah ini telah bersama Pahang sejak tahun 2016 dan telah melakukan debut skuad utama beliau sewaktu perlawanan ke-18 saingan Liga Super 2019.
Sepanjang bersama skuad Tok Gajah, Nik Sharif telah menjaringkan tiga gol dan melakukan dua assist dalam 10 penampilan bagi musim 2019 hingga 2020.
Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel berkata, pemain muda ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri untuk membantu pasukan Selangor terutamanya daripada segi kebolehan menganalisis corak permainan.
“Dia (Nik Sharif) memiliki aspek teknikal yang baik serta mempunyai visi yang hebat dalam membaca permainan biarpun usianya yang masih muda. Dia juga boleh bermain sebagai pemain sayap atau membantu bahagian tengah dengan efektif.
“Saya percaya bahawa Nik Sharif bakal memainkan peranan penting dalam pasukan Selangor musim hadapan. Saya tidak sabar untuk melihatnya beraksi untuk persediaan pra musim,” ujarnya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan FAS, hari ini.
Dalam pada itu, Nik Sharif berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh pengurusan Selangor FC dan melaungkan komitmen beliau untuk membantu pasukan Gergasi Merah.
“Saya berasa sangat teruja serta bersyukur atas rezeki dan peluang yang diberikan untuk bermain dengan salah sebuah pasukan yang penuh sejarah dan pencapaian di Liga Malaysia,
“Selangor mempunyai keistimewaan tersendiri termasuklah fasiliti yang serba lengkap, pihak pengurusan yang profesional selain barisan pemain yang cukup berpengalaman.
“Saya akan berusaha untuk berikan prestasi yang terbaik untuk pasukan demi membalas kepercayaan pihak pengurusan dan membanggakan para penyokong Selangor,” tegas Nik Sharif.











Add Comment