Bola Sepak Terkini

FAM kemukakan syor 10 peratus kehadiran penonton ke stadium


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengemukakan cadangan kemasukkan 10 peratus penonton ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia 2021.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung permohonan untuk membenarkan penonton masuk ke stadium bermula 10 peratus daripada kapasiti stadium.

“Umum mengetahui bahawa kita semua sedang menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam pandemik COVID-19 dan bola sepak tidak terkecuali di mana ini sangat penting untuk kelangsungan industri bola sepak negara.

“Hari ini perwakilan telah menyokong usul permohonan untuk membawa masuk penonton berskala kecil dan sudah pasti kami berharap permohonan ini dibenarkan selaras pematuhan Operasi Standard Prosedur (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kongres MFL kali keempat di Hotel Marriot, hari ini.

Beliau yang juga Presiden MFL berkata, kemasukan penonton hadir ke stadium bukan sahaja dalam proses menyesuaikan diri norma baharu dalam pandemik COVID-19 tetapi juga bakal meningkatkan lagi industri ekonomi bola sepak tempatan khususnya melibatkan penaja-penaja.

Katanya, banyak perkara positif akan berlaku jika penonton kembali dibenarkan masuk ke stadium di mana saya juga difahamkan penaja-penaja telah bersedia untuk memberikan penajaan jika pihak kerajaan membenarkan penyokong ke venue pada tahun depan.

“Bukan itu sahaja, saya turut berharap MKN turut berprihatin terhadap industri bola sepak negara seperti pengusaha padang komersial dan futsal negara di mana golongan ini juga antara salah satu faktor kekuatan ekonomi bola sepak tempatan.

“Mereka juga perlu diberikan kebenaran untuk meneruskan kelangsungan hidup selaras pematuhan SOP dalam pandemik COVID-19,” katanya.

Cadangan ini juga dipersetujui perwakilan Kongres Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) juga turut menyokong usul permohonan untuk membawa masuk penonton ke stadium berskala kecil bermula musim depan.

Dalam perkembangan sama, Hamidin memaklumkan perwakilan MFL telah bersetuju dengan usul penyertaan skuad projek FAM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) yang bakal membuat penampilan dalam kempen Liga Premier 2021.

Katanya lagi, perwakilan telah bersetuju dengan usul penyertaan skuad projek FAM-MSN yang akan bermain dalam Liga Premier pada tahun hadapan.

“Saya sentiasa menyokong penuh terutama apabila skuad projek ini melibatkan agenda nasional di mana saya percaya perancangan untuk pembangunan pemain-pemain muda ini akan bertambah baik dari masa ke semasa,” ujarnya.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: