Antarabangsa Bola Sepak Terkini

Qatar serah jaminan kerajaan bida penganjuran Piala Asia 2027


PERSATUAN Bola Sepak Qatar (QFA) menyerahkan jaminan kerajaan Qatar kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), iaitu sebahagian daripada fasa ketiga bidaan hak penganjuran Piala AFC 2027 selaras keperluan menjayakan sesuatu bidaan.

Menurut kenyataan media QFA, negara Qatar sudah menjanjikan komitmen untuk memenuhi semua syarat peraturan menganjurkan kejohanan berkenaan pada piawaian tinggi dan bersedia mematuhi jadual ditetapkan oleh AFC.

“Komitmen ini adalah sebahagian daripada visi nasional Qatar 2030, yang menyokong peningkatan keupayaan negara dalam semua bidang, dengan bantuan pelaburan besar-besaran dalam tahun mendatang.

“Dengan pengalaman QFA dan kepakaran organisasi selama lebih dari dua dekad, jaminan itu mengesahkan keinginan QFA untuk memenuhi semua keperluan penganjuran,” menurut kenyataan itu.

QFA menyerahkan bahagian pertama dokumen bidaannya pada 26 Ogos, diikuti bahagian kedua merangkumi keperluan perundangan pada 29 Oktober.

Dokumen berkenaan mengandungi semua aspek penganjuran kejohanan berkenaan dan memberi penekanan terhadap keupayaan Qatar dalam menganjurkan acara sukan utama. – BERNAMA-


Tags

Add Comment

Click here to post a comment