Bola Sepak Terkini

Neitzel sah terajui Red Giants


Neitzel sah membimbing Selangor mengharungi saingan musim depan.

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) mengesahkan sudah mengikat bekas pemain Jerman, Karsten Neitzel untuk mengemudi pasukan berkenaan mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, Neitzel bakal mengemudi pasukan utama Selangor sekali gus meneruskan agenda yang sudah disusun Pengarah Teknikal, Micheal Feichtenbeiner yang ketika ini menjadi pemangku jurulatih skuad utama.

Katanya, bekas pembantu jurulatih Urawa Reds itu berjaya ‘menewaskan’ beberapa calon lain yang disenaraikan sebelum ini sekali gus disifatkan sebagai calon yang paling ideal dalam misi mengembalikan kegemilangan bola sepak The Red Giants.

“Setakat ini, apa yang saya boleh sahkan adalah FAS memang sudah menandatangani Neitzel sebagai jurulatih baharu Selangor. Namun untuk tiga lagi nama yang dikaitkan itu, mungkin Neitzel mempunyai perancangannya yang tersendiri.

“Barisan kejurulatihan sedia ada pun cukup baik dan melakukan tugas mereka dengan bagus. Tetapi kalau kita memerlukan perubahan ataupun penambahan dari segi struktur kejurulatihan, mungkin kita akan pertimbangkan.

“Mungkin dengan adanya penambahan beberapa lagi jurulatih, mereka boleh membantu menurunkan ilmu mereka bukan sahaja kepada pasukan utama tetapi kepada pasukan pembangunan, Piala Belia dan juga Piala Presiden,” katanya dipetik melalui BHSukan,Online.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Neitzel, Shahril mengakui bekas pemain Dynamo Dresden itu memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi jurulatih skuad utama Selangor.

“Kita mahukan pembaharuan dan setiap pembaharuan yang dilakukan, pasti ada risikonya. Tetapi selepas penilaian dibuat, kita melihat Neitzel sangat sesuai dan boleh bekerja dengan baik bersama Feichtenbeiner sebagai Pengarah Teknikal.

“Antara perancangan kita adalah untuk mewujudkan DNA Bola Sepak Selangor di mana semua pasukan akan menggunakan corak dan taktikal permainan yang sama.

“Feichtenbeiner sudah meletakkan batu asas yang baik pada musim ini dan memberikan kita momentum yang baik. Kami berpendapat Neitzel mampu meneruskan perancangan ini,” katanya.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading