Bola Sepak Semasa

Kesihatan, keselamatan dan masa depan lebih utama

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

KEPUTUSAN kerajaan tidak membenarkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke luar negara untuk menyertai saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 Zon Timur di Doha, Qatar adalah demi kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia.

Pemilik JDT Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, meskipun mengakui keputusan itu termasuk pembatalan saingan Piala Malaysia 2020 susulan keputusan kerajaan menangguhkan kejohanan tertua Asia Tenggara itu satu keputusan yang berat untuk diterima.

Menurut Tunku Ismail, kes COVID-19 semakin meningkat dan situasi tersebut akan menjejaskan kelangsungan hidup jika ia berterusan.

“Sesiapa sahaja tidak terlepas dari ancaman COVID-19. Sebagai contoh pemain bintang Mesir, Mohamed Salah juga telah disahkan positif apabila tiba untuk perlawanan antarabangsa walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom.

“Ini boleh berlaku di mana-mana sahaja dan kita tidak boleh mengambil sebarang risiko,” katanya dalam kenyataan laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers.

Liga Juara-Juara AFC 2020 Zon Timur dijadual berlangsung dari 18 Nov hingga 13 Dis, dengan JDT yang merupakan juara Liga Super 2020 dijangka meneruskan kempennya dalam saingan Kumpulan G.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan JDT tidak dibenarkan ke luar negara susulan keputusan kerajaan yang masih kekal menutup pintu sempadan negara.

MKN turut membatalkan saingan Piala Malaysia 2020 selepas berpendapat sukan itu melibatkan sentuhan antara pemain yang boleh menyebabkan risiko jangkitan COVID-19.-Bernama-


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: