Bola Sepak Komentar Semasa Terkini

Piala Malaysia perlu diadakan

Gambar terbaru ZamSaham di Pulau Lima, berdekatan Pulau Redang.

 

Oleh MOHD. FARIQ

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman berpendapat kejohanan TM Piala Malaysia 2020 masih wajar untuk diteruskan di sebalik negara berdepan pandemik Covid-19.

Ini kerana Norizam yang lebih mesra disapa ‘ZamSaham’ menaruh keyakinan terhadap penganjur, Malaysian Football League (MFL) bakal memastikan kejohanan tertua di Asia Tenggara itu berjalan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketika ditanya mengenai saranan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang menggesa TM Piala Malaysia 2020 harus dibatalkan, ZamSaham melihat daripda sudut berbeza di mana kejohanan itu harus diteruskan demi survival Liga Malaysia itu sendiri.

Jelasnya, MFL telah pun bertindak dengan mengumumkan ketiadaan Sabah dalam kempen TM Piala Malaysia 2020 selepas tidak mendapat kelulusan khas daripada MKN untuk bertanding sekali gus membuktikan pengendali Liga Malaysia itu telah mengikut saranan daripada pihak kerajaan persekutuan.

“Malah, Sabah yang masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 November ini pun tidak dapat bermain untuk aksi terakhir CIMB Liga Super selepas MFL mengumumkan kemenangan 3-0 diberikan kepada pasukan lawan (UiTM FC).

“Saya ada terbaca ada saranan untuk membatalkan TM Piala Malaysia 2020 tetapi saya positif bahawa MFL telah ada perancangan untuk memastikan kejohanan ini bebas daripada Covid-19.

“Umum mengetahui sejak pandemik Covid-19 melanda negara sejak Mac lalu, banyak industri terkesan termasuk bola sepak. Jadi, kita memahami apa yang berlaku tetapi dalam masa yang sama, survival industri bola sepak juga perlu diteruskan.

“MFL telah berusaha keras untuk menjaga nama baik liga tempatan. Jika kita lihat, masih banyak negara-negara yang membenarkan liga mereka bermain asalkan mengikut SOP yang ditetapkan.

“Secara peribadi, saya tidak tahu apa yang akan berlaku di masa akan datang. Adakah kes Covid-19 akan kembali meningkat atau sebaliknya saya tidak tahu tetapi apa yang saya tahu adalah MFL dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MKN dan KKM akan memastikan TM Piala Malaysia 2020 berlangsung dengan jayanya.

“Malah, jika perkara buruk berlaku, mereka sudah pasti menjadi pihak pertama yang akan mengumumkan pembatalan kejohanan ini tetapi saya percaya semuanya akan berada dalam kawalan selaras SOP yang telah ditetapkan,” katanya kepada CakapSukan hari ini.

Dalam perkembangan lain, ZamSaham memberitahu pasukannya kini berada persiapan terbaik untuk mengharungi kempen TM Piala Malaysia 2020.

Barisan pemain Kelantan FC giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Piala Malaysia 2020.

Jelas usahawan dari Johor itu, beliau telah membawa skuadnya menjalani persiapan di The Taaras Beach & Spa Resorts dalam usaha menyuntik moral barisan pemain The Red Warriors di tahap maksimum.

“Musim ini boleh dikatakan tahun sukar buat kami tetapi syukur Alhamdulillah Kelantan masih berjaya melayakkan diri ke TM Piala Malaysia 2020 selepas menduduki tangga keempat Liga Premier.

“Ini juga merupakan satu motivasi kepada pemain-pemain selepas apa yang terjadi berkenaan isu lama yang terpalit kepada pasukan Kelantan sebelum ini.

“Jadi, saya fikir pemain-pemain berhak untuk santai dan menikmati kejayaan mereka selepas bekerja keras tetapi dalam masa yang sama, saya mahu pemain sentiasa berada keadaan bersedia dan sentiasa fokus kepada pasukan sebaik TM Piala Malaysia 2020 bermula nanti.

“Lebih tepat pasukan Kelantan FC sudah tidak sabar untuk bermain dalam kejohanan TM Piala Malaysia 2020 nanti,” katanya.

(Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: