Bola Sepak Semasa Terkini

‘The Professor’ jadi Penasihat Teknikal Kelantan FC

Nasir (kiri) bersama pemilik The Taaras Beach & Spa Resorts, Tan Sri Vincent Tan .

 

Oleh MOHD FARIQ

Legenda bola sepak negara, Nasir Yusoff telah diberikan kepercayaan selepas dilantik sebagai Penasihat Teknikal Kelantan FC berkuatkuasa hari ini.

Perkara itu disahkan oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang menyifatkan kehadiran Nasir yang sebelum ini telah mendakap dua kali kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 1985 dan 1991 ketika menyarung jersi Johor sejak dari tahun 1981 hingga 1994, bagaikan jauhari mengenal manikam.

Jelas Norizam, beliau yang turut membawa Nasir bersama pasukan Kelantan FC menjalani persiapan awal sebelum bertanding di TM Piala Malaysia 2020 dengan membawa percutian di The Taaras Beach & Spa Resorts Pulau Redang, Terengganu minggu lalu.

Katanya, beliau percaya pelantikan Nasir sebagai Penasihat Teknikal Kelantan FC dilihat mampu mengembalikan motivasi dan keyakinan pasukannya pada masa akan datang.

Sebagai rekod, Kelantan FC berjaya menduduki tangga keempat Liga Premier dengan meraih 18 mata sepanjang 11 perlawanan.

Undian TM Piala Malaysia akan berlangsung pada 1 November depan sebelum kempen kejohanan tertua di Asia Tenggara itu bermula pada 6, 7 dan 8 November depan.

“Saya percaya kehadiran legenda yang lebih dikenali ‘The Professor’ ini secara tidak langsung telah memberikan suntikan moral kepada pasukan Kelantan FC.

“Nama Nasir bukan satu perkara asing dalam dunia bola sepak tempatan dan sudah pasti kami mengalu-alukan kedatangan saudara Nasir dalam keluarga Kelantan FC.

“Saya yakin dengan pengalaman dan ilmu yang dimiliki Nasir akan memberikan satu input kepada pasukan Kelantan FC untuk lebih berjaya di masa akan datang.

“Saya memilih The Taaras Beach & Spa Resorts bukan semata-mata sebagai salah satu pulau tercantik di dunia tetapi lebih kepada untuk menaikkan kembali semangat barisan pemain Kelantan.

“Musim ini boleh dikatakan tahun sukar buat kami tetapi syukur Alhamdulillah Kelantan masih berjaya melayakkan diri ke TM Piala Malaysia 2020 selepas menduduki tangga keempat Liga Premier.

“Ini juga merupakan satu motivasi kepada pemain-pemain selepas apa yang terjadi berkenaan isu lama yang terpalit kepada pasukan Kelantan sebelum ini.

“Jadi, saya fikir pemain-pemain berhak untuk santai dan menikmati kejayaan mereka selepas bekerja keras tetapi dalam masa yang sama, saya mahu pemain sentiasa berada keadaan bersedia,” katanya.

Pemain dan pengurusan Kelantan FC menikmati suasana percutian di Taraas sebagai suntikan motivasi menjelang saingan Piala Malaysia November nanti.

Dalam perkembangan sama, Nasir memberitahu beliau berasa bangga kerana diberikan penghormatan selepas dilantik menjadi Penasihat Teknikal Kelantan FC.

Nasir telah meraih 86 caps bersama skuad Harimau Malaya bermula tahun 1982 sehingga 1994 selain pernah terlibat dalam pembangunan akar umbi untuk juara 7 kali CIMB Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT)

Jelas Nasir, beliau akan berusaha keras dalam misi mengembalikan bola sepak Kelantan yang sebelum ini diangkat menjadi pasukan gergasi negara dan Pantai Timur.

“Saya bersyukur dan berbangga kerana diberikan kepercayaan untuk menjadi Penasihat Teknikal Kelantan FC.

“Sudah pasti kami sebagai satu pasukan akan memberikan yang terbaik dalam misi mengembalikan maruah Kelantan FC tetapi perjalanan itu tidak mudah di mana kita perlu fokus satu demi satu visi dan misi Kelantan FC,” katanya.

Sementara itu, pemilik The Taaras Beach & Spa Resorts, Tan Sri Vincent Tan melahirkan rasa penghargaan kepada Kelantan FC yang memilih resortsnya sebagai satu satu lokasi persiapan pasukan.

“Kami The Taaras Beach & Spa Resorts berasa teruja kerana diberikan penghormatan apabila pasukan Kelantan FC memilih lokasi ini sebagai persiapan awal mereka untuk menyambut TM Piala Malaysia 2020.

“Saya juga ingin mengalukan mana-mana pasukan yang berminat untuk membuat persiapan ini kerana The Taaras Beach & Spa Resorts akan dibuka pada musim monsun sehingga Disember depan,” ujarnya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: