
KEM Liverpool sekali lagi ditimpa berita kurang menggembirakan. Pemain The Reds, Naby Keita, dilaporkan positif virus Covid-19.
Naby Keita terlepas aksi untuk negaranya, Guinea yang mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Cape Verde pada perlawanan persahabatan. Ketika itu, Keita dilaporkan mengalami masalah kesihatan.
Menurut laporan Foot224, Keita merupakan salah seorang antara empat pemain Guinea yang positif diserang virus corona dan sudah dikuarantinkan sejak Jumaat lepas.
Keita dilaporkan menjalani ujian pada Rabu dan kemudian, hasil ujian mengesahkan dijangkiti virus corona.
Dia menyertai senarai pemain yang positif Covid-19 iaitu Francois Kamano, Ibrahima Kone, Ibrahima Camara dan Florentin Pogba.
Sementara itu, bagi Liverpool, Keita adalah pemain kelima setelah Kostas Tsimikas, Thiago, Sadio Mane dan Xherdan Shaqiri yang terkena virus corona.
Ketika ini, Sadio Mane masih mengasingkan diri, tetapi terus menjalani latihan di rumah menjelang aksi derbi Merseyside pada 17 Oktober.
The Reds berharap Mane dan Thiago boleh segera pulih sebelum pertandingan.
Besar kemungkinan, Keita tidak boleh bermain pada aksi menentang Everton dan tersisih pada pertandingan pembukaan Liga Juara-Juara melawan Ajax Amsterdam pada 21 Oktober.
Perkembangan ini sudah tentu mengecewakan bagi pemain nombor 8 itu. Ini kerana, dia kerap bermula dalam kesebelasan utama dalam enam perlawanan berturut-turut.
Liverpool membeli Naby Keita dari kelab Bundesliga, RB Leipzig pada Julai 2018. Ketika itu, The Reds harus mengeluarkan kantung sebanyak 60 juta euro untuk mendapatkan pemain berusia 25 tahun ini.
Add Comment