Bola Sepak Semasa Terkini

Kedah iringi JDT ke pentas Asia

KEDAH mengesahkan slot ke saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 apabila berjaya menewaskan Perak, 3-2 pada aksi terakhir saingan Liga Super di Stadium Perak, sebentar tadi.

Tandukan pemain pertahanan Kedah, Renan Alves pada babak kedua nyata memisahkan Kedah dengan Perak yang sebelum itu beredar masuk ke bilik persalinan dengan keputusan seri 2-2 untuk 45 minit separuh masa pertama.

Hanya dipisahkan satu mata buat kedua-dua pasukan, pemenang bukan sahaja meraih kedudukan tempat kedua namun paling penting, salah satu daripada dua slot yang ditawarkan ke Piala AFC pada musim 2021.

Turun dengan semangat memburu kemenangan baik Perak mahu pun Kedah, kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan corak permainan berhati-hati dengan bola lebih banyak bergerak dibahagian tengah padang pada 20 minit babak pertama.

Kpah Sherman meledak gol pertama bagi membantu Kedah menewaskan Perak, 3-2.

Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai apabila penyerang import Kedah, Kpah Sherman bijak memperdayakan dua pertahanan tuan rumah dan penjaga gawang Perak, Muhammad Hafizul Hakim untuk meledak gol pertama pada minit ke 28.

Selang dua minit kemudian kerapuhan benteng tuan rumah sekali lagi dihukum kali ini melalui gerakan menarik yang dijelmakan Kipre Tchetche, Baddrol Bakhtiar yang disempurnakan Mohd Fadzrul Danel untuk gol kedua pelawat.

Ketinggalan dua gol nyata menyentap semangat The Bos Gaurus yang bangkit memburu gol dan mereka berjaya merapatkan jaringan hasil sepakan penalti yang disempurnakan ketua pasukan, Leandro Santos pada minit ke 42 sebelum pemain kelahiran Brazil ini sekali lagi mencetak nama untuk gol kedua Perak selang enam minit kemudian untuk mengikat kedudukan 2-2.

Memasuki babak kedua, Kedah terlebih dahulu lebih mengancam kubu tuan rumah melalui gerakan solo Kpah Sherman, Kipre Tchetche yang berjaya merobek benteng Perak namun gagal meletakkan bola dalam gawang.

Walaupun hanya memerlukan keputusan seri untuk meraih slot Piala AFC, skuad bimbingan Aidil Shahrin Sahak terus menggempur pelawat bagi memburu gol ketiga dan usaha berkenaan berhasil pada minit 63.

Gol ketiga itu terhasil melalui sepakan penjuru diambil Baddrol sebelum ditanduk kemas Alves yang melepasi jangkauan Hafizul untuk mengegarkan gawang tuan rumah untuk gol ketiga.

Walaupun tuan rumah melakukan beberapa pertukaran bagi menambahkan sengat jentera serangan, namun kekentalan dan disiplin tinggi benteng Kedah memastikan kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Tiga mata yang diraih Kedah meletakkan mereka selaku Naib Juara Liga Super 2020 dengan mengutip 22 mata manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku juara Liga Super beraksi dipentas Piala ACL 2021.

Pada satu lagi perlawanan Liga Super yang berlangsung malam ini, Terengganu FC berjaya menduduki tangga ketiga selepas menewaskan Pahang, 2-1 pada perlawanan di Kuala Terengganu.

Pelawat terlebih dahulu dihadapan melalui Nik Sharif Haseeft pada minit ke 13 sebelum Da Silva menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti selang tiga minit kemudian.

Ketua pasukan tuan rumah, Andrew Lee Tuck memastikan kemenangan mutlak tuan rumah apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke 82 untuk memastikan TFC melonjak ketangga ketiga liga dengan mengutip 19 mata manakala kekalahan Perak menyebabkan mereka jatuh ditangga keempat liga dengan 18 mata.

Kedudukan pasukan selepas berakhirnya saingan Liga Super 2020.

 

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: