
SEPAKAN penalti yang dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika perlawanan berbaki 2ominit ditamatkan nyata membunuh semangat pemain Melaka yang sebelum itu mempamerkan tahap disipilin yang tinggi mengekang asakan pelawat.
Bermula dari gol berkenaan, rentak permainan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan terus goyah dan hasilnya empat gol terhasil untuk memastikan kemenangan 5-0 pelawat ke atas Melaka pada aksi terakhir saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Bagi Zainal Abidin kekalahan 0-5 yang diraih amat mengecewakan namun tidak menafikan semangat juang pemainnya yang mampu memberikan tekanan kepada JDT.
“Mereka bermain baik sebelum lawan dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke 70, ketika itu saya lihat pemain gagal mengawal kekecewaan dan lambat bangkit untuk kembali bersaing.
“Penalti itu telah membunuh semangat barisan pemain, hilang konsentrasi hingga lawan terus menjaringkan empat gol. Pemain nyata kecewa dengan keputusan penalti tersebut namun saya sentiasa ingatkan kepada pemain agar membuang emosi sedemikian serta segera bangkit,” jelasnya.
Pada perlawanan tersebut, Melaka berjaya mengimbangi corak permainan sebelum pelawat dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan pemain import dari Argentina Leandro Velazquez pada minit ke-70 sekali gus memecah kebuntuan gol.
Jaringan pembukaan itu disusuli dengan gol kedua JDT empat minit kemudian menerusi Muhammad Syafiq Ahmad yang bijak melepasi perangkap ‘offside’ sebelum Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak menanduk masuk gol ketiga pasukan pelawat pada minit ke-79.
Menghampiri masa penuh, Melaka yang seakan hilang arah terus dibolosi dua gol dalam tempoh lapan minit yang menyaksikan Fernando Rodriguez meledak gol keempat pada minit ke-85 sebelum Gonzalo Cabrera melengkapkan malam gemilang sang juara dengan jaringan di akhir permainan.
Add Comment