Bola Sepak

Piala Malaysia 2020 ditunda


LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan saingan Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung 16 hingga 18 Oktober ini ditunda kepada 25 dan 26 Oktober susulan pindaan jadual perlawanan membabitkan aksi terakhir Liga Super.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, berikutan itu majlis undian saingan yang dijadualkan pada 12 Oktober turut ditunda pada 19 Oktober.

“Penangguhan juga kerana badan pengendali liga itu amat prihatin dengan situasi semasa pandemik COVID-19 di negara yang agak membimbangkan apabila menunjukkan peningkatan kes.

“MFL meminda tarikh perlawanan membabitkan Sabah dan UiTM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu disebabkan Kota Kinabalu sudah diisytihar zon merah COVID-19. Venue perlawanan juga akan dimaklumkan nanti berikutan Kota Kinabalu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pindaan turut membabitkan aksi antara Perak menentang Kedah dan Terengganu FC (TFC) menentang Pahang berdasarkan faktor perebutan tempat kedua Liga Super dan perlawanan menentukan kedudukan bagi undian Piala Malaysia.

“Perlawanan Perak menentang Kedah dan TFC bertemu Pahang yang sebelum ini dijadualkan pada 10 Oktober (Sabtu) akan dipinda pada 11 Oktober (Ahad).

“Sekretariat MFL sedang mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pasukan bagi penjadualan semula dan tarikh itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat sebelum undian Piala Malaysia.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan keadaan semasa COVID-19 yang sedang meningkat dan MFL berprihatin kepada permasalahan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Untuk rekod, format Piala Malaysia tahun ini terpaksa dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d