LIVERPOOL dan Manchester United pastinya menjadi persoalan dan kritikan penyokong masing-masing apabila kedua-dua pasukan ini kalah teruk kepada lawan dalam aksi keempat saingan Liga Perdana Inggeris 2020/21.
Umpama adik beradik, cubit peha kanan peha kiri terasa, keperitahan kekalahan Man United 1-6 di tangan Spurs yang beraksi lebih awal turut sama dirasai Liverpool apabila kecundang 2-7 kepada Aston Villa.
Macam tidak percaya tetapi itulah fakta apabila The Reds dan The Red Devils menerima aib dimalukan lawan dengan jumlah jaringan yang tidak masuk akal, tetapi inilah bola sepak, segalanya boleh berlaku.
Malam serba tidak menjadi buat Liverpool apabila turun tanpa Sadio Mane dan Alisson Becker. Keperitan pastinya dirasai penyokong Liverpool apabila pasukan kesayangan mereka kelihatan tidak bermaya menahan serangan pasukan tuan rumah apabila selesai babak pertama, Aston Villa selesa mendahului 4-1. Memasuki babak kedua, tiga jaringan gol yang berpunca dari serangan balas memastikan juara bertahan lemas dalam taktikal yang dijelmakan pengendali Aston Villa, Dean Smith.
Bagi Man United, kekurangan seorang pemain mungkin boleh dijadikan alasan berbanding Liverpool apabila Anthony Martial dibuang padang kerana menerima kad merah dan susulan keputusan tersebut Spurs terus menekan tuan rumah hingga berjaya meledak lima gol untuk kemenangan 6-1 pada aksi di Stadium Old Trafford.
Add Comment