
KELANTAN memilih jalan sukar untuk menempatkan diri secara automatik dalam saingan Piala Malaysia apabila sekadar seri 2-2 menentang Negeri Sembilan pada aksi di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu malam tadi.
Seandainya tiga mata mampu diraih, skuad bimbingan Yusri Che Lah ini secara automatik akan berakdi di pentas Piala Malaysia namun sebaliknya berlaku dan kini mengharapkan satu mata mampu di bawa pulang pada aksi terakhir menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di tempat lawan.
Bagi Yusri, skuadnya terpaksa melalui laluan sukar apabila akan bertemu Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin dalam saingan terakhir Liga Premier di tempat lawan Jumaat ini bagi menentukan slot ke Piala Malaysia.
“Semalam kita telah terlepas peluang untuk layak secara merit sekiranya kami menang ke atas pasukan Negeri Sembilan namun dikecewakan oleh pasukan lawan dengan jaringan lewat perlawanan. Bila bertemu JDT II, saya mahu pemain lebih memberikan tumpuan untuk mencari mata setidak-tidaknya keputusan seri.
“Saya tidak mahu bergantung harap kepada keputusan (yang diperoleh) pasukan-pasukan lain dalam perlawanan terakhir masing-masing untuk pasukan kami layak ke saingan Piala Malaysia.
“Dalam tempoh seminggu sebelum bertemu JDT II, kami perlu berusaha sepenuhnya untuk memperbaiki kelemahan yang ada,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.
Gol Kelantan malam tadi dijaringkan Mohamad Amirul Shafik Che Soh pada minit ke-28 dan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-82 manakala Negeri Sembilan memperoleh gol menerusi Jose Neto (min 14) dan Igor Luiz (min 87).
Selain Kelantan, antara pasukan dalam saingan Liga Premier yang masih berpeluang mengisi tiga slot terakhir untuk beraksi pada saingan Piala Malaysia antaranya ialah Terengganu II, JDT II, Kuching FA, Negeri Sembilan, Kelantan United dan Selangor 2.
Add Comment