Bola Sepak Komentar Terkini

“TMJ The Godfather Malaysian Football”


 

JDT dinobatkan selaku juara Liga Super 2020 dan merangkul gelaran tersebut buat kali ketujuh berturut-turut.

Oleh MOHD FARIQ

JOHOR Darul Ta’zim atau lebih terkenal dengan kata nama akronimnya; JDT bukan lagi satu nama asing dalam dunia bola sepak tempatan.

Inilah kuasa gergasi kelab bola sepak yang selalu disebut-sebut oleh penyokong tempatan setelah mendominasi Liga Malaysia sejak 2014.

Baik dalam atau di luar padang, JDT jelas berada kelas tersendiri dan skuad Harimau Selatan bagaikan terlalu jauh meninggalkan pasukan-pasukan lain baik daripada segi pencapaian, akademi, infrastruktur dan lain-lain.

Namun orang-orang Johor mungkin tidak merasai kegemilangan ini tanpa sentuhan Tengku Makhota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak mengambil alih Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pada tahun 2013.

Sebaik Tunku Ismail mengetuai pucuk kepimpinan PBNJ, bermula tranformasi kelab bola sepak yang berpangkalan di Selatan tanah air itu dengan penjenamaan semula Johor FC menjadi JDT, tidak mungkin mampu difikirkan atau ditiru oleh mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia.

Sejarah demi sejarah mula tercipta bermula kejayaan menjadi pasukan pertama menjuarai Liga Super tujuh kali berturut-turut, dua kali Piala Malaysia (2017 dan 2019), lima kali Piala Sumbangsih (2015, 2016, 2018, 2019 dan 2020) dan menjadi juara Piala AFC pada 2015.

Apa yang menarik, JDT bagaikan terus bernafsu untuk memburu kejayaan demi kejayaan.

Sama seperti visi Tunku Ismail iaitu ‘50 langkah ke depan’, JDT yang muncul sebagai pasukan pertama bermain di Liga Juara-Juara AFC sentiasa melakukan sesuatu baharu dalam dunia bola sepak domestik.

Namun sudah lumrah apabila kelibat mereka tidak mula disenangi beberapa pihak tertentu disebabkan konsistensi mereka dalam Liga Malaysia.

Bilik latihan yang bertaraf dunia juga banyak memberikan impak kepada persembahan pasukan.

Timbullah tuduhan tidak berasas mengatakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau pengadil lebih gemar ‘berpihak’ kepada JDT dalam apa jua situasi yang kononnya menjadi punca kejayaan sebenar skuad Harimau Selatan selama ini.

Namun sejujurnya penulis menganggap sepatutnya penyokong bola sepak tempatan seharusnya lebih menghargai berbanding bertindak mengikuti emosi untuk menuduh kejayaan JDT.

Harus diingat, Tunku Ismail telah bekerja keras untuk mengangkat JDT menjadi ke tahap sekarang dan baginda tidak semata-mata goyang kaki sebelum diangkat menjadi The Godfather Malaysian Football.

Suka atau tidak, itulah realitinya. Dari atas sehingga di luar padang, Tunku Ismail sentiasa mengambil kira aspek-aspek ini dalam memastikan perjalanan JDT berada di landasan yang betul.

Paling mustahak, Tunku Ismail memastikan JDT bergerak dalam industri bola sepak global, bukannya semata-mata mengharapkan subsidi kerajaan negeri dengan berusaha menjana pendapatan sendiri melalui kelab yang dimilikinya itu.

Sepatutnya kelab-kelab lain melihat kejayaan JDT dan jadikan sebagai contoh terbaik di mana pujian harus diberikan kepada pemilik, Tunku Ismail yang telah berjaya memberikan dimensi baharu perjalanan kelab bola sepak negara.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman tidak menunggu lama untuk menimba pengalaman dan pengetahuan dari TMJ selepas dia menerajui Kelantan FC.

Tunku Ismail berjaya menjadikan JDT sebagai satu empayar cukup gah dalam dan luar negara di mana penulis percaya pasukan-pasukan lain boleh berbuat demikian jika menjadi skuad Harimau Selatan itu sebagai modul.

Hentikan sifat cemburu dan penulis sangat yakin bahawa Tunku Ismail sentiasa berlapang dada kepada mana-mana pasukan untuk menuntut ilmu dengan baginda dalam usaha meningkatkan kualiti Liga Malaysia.

Ini kerana kejayaan JDT harus dilihat daripada sudut positif bukannnya daripada perasaan hasad dengki.

Penulis tidak ada kepentingan di Johor tetapi sebaliknya meluahkan isi hati sebagai penulis bola sepak lebih daripada 25 tahun.

Akhir kata dari penulis, jika tidak dapat tiru JDT secara 100 peratus, ambil dahulu 50 peratus di mana JDT adalah sebuah pasukan yang benar-benar berjiwa bola sepak, bukannya medan mencari populariti.

**Mohd Fariq mempunyai pengalaman sebagai penulis bolasepak selama 25 tahun**


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading