Bola Sepak

Pulau Pinang lakar kejayaan berganda


Manzoor Azwira diraikan barisan pemain dan kejurulatihan selepas pasukan mengatasi Kelantan United, 4-0 dan sah bergelar juara Liga Premier 2020.

SELEPAS mengesahkan slot Liga Super musim depan, Pulau Pinang terus melakar sejarah apabila sah Juara Liga Premier 2020 apabila membelasah Kelantan United, 4-0 pada pertemuan di Stadium Bandaraya malam tadi.

Kejayaan pasukan Harimau Kumbang, buat pertama kali menjuarai Liga Premier sejak liga itu mula diperkenalkan pada tahun 2004, turut dibantu oleh keputusan seri 0-0 dilakar Kuala Lumpur dalam pertembungan menentang Perak II di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Kini Pulau Pinang memburu rekod tanpa kalah dalam saingan dengan hanya berbaki satu perlawanan menentang Terengganu FC II di tempat lawan 9 Oktober nanti.

Bagi Ketua jurulatih Pulau Pinang Manzoor Azwira Abdul Wahid, kejayaan ini satu pencapaian yang amat luar biasa dan hadiah istimewa untuk semua penyokong Harimau Kumbang.

“Sasaran yang paling penting untuk pasukan ini pada mulanya adalah untuk melayakkan diri ke Liga Super musim depan, tetapi kini mereka telah mencipta bonus dengan menjuarai Liga Premier.

“Saya amat bersyukur, berkat sokongan kerajaan negeri, pihak pengurusan, penyokong pasukan dan para pemain yang bermain dengan bersungguh-sungguh, kami berjaya melakar sejarah dengan menjuarai Liga Premier dengan berbaki satu perlawanan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan .

Berbaki satu perlawanan, Pulau Pinang kini di tangga teratas Liga Premier dengan 26 mata, diikuti Kuala Lumpur di tempat kedua dengan 21 mata yang kedua-dua pasukan akan dinaikkan ke Liga Super 2021.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d