Bola Sepak Semasa

Perbezaan peranan yang lebih jelas

 

Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) telah diluluskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi pada 29 September 2020.

SUSULAN kelulusan penswastaan yang diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas Persatuan Bola Sepak Selangor (FA Selangor) di bawah nama yang baharu iaitu Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) pada 29 September lalu, perbezaan peranan yang lebih jelas akan dapat dilihat di antara FA Selangor dan Selangor FC.

Setiausaha Agung FA Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon menyatakan bahawa melalui proses penswastaan ini, perbezaan peranan yang lebih jelas akan dapat dilihat di antara FA Selangor dan Selangor FC.

“FA Selangor akan memberikan tumpuan penuh kepada pembangunan akar umbi seperti pendidikan jurulatih, penyeliaan lesen dan mutu para pengadil di peringkat negeri, selain membangunkan liga dan kejohanan bola sepak di peringkat negeri, termasuklah bola sepak peringkat sekolah, bola sepak wanita, serta pembangunan kelab-kelab bola sepak amatur dan kelab ahli gabungan di Selangor.

“Aspek pemerkasaan skuad utama Selangor, Selangor 2, pasukan Futsal Selangor serta program pembangunan skuad Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan Wanita Selangor pula bakal menjadi fokus utama Selangor FC di bawah pengendalian syarikat Red Giants FC Sdn Bhd.

“Red Giants FC Sdn Bhd dimiliki oleh beberapa pemegang saham seperti Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor (selaku pemegang saham utama), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan FA Selangor,” jelasnya melalui siaran media yang dikeluarkan FAS.

Walau bagaimanapun, Dr Johan memaklumkan struktur pegangan saham ini bukanlah sesuatu yang muktamad dan kekal kerana Red Giants FC Sdn Bhd sentiasa terbuka untuk menerima pelabur yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada pemegang saham syarikat ini.

“Berkenaan dengan identiti baharu, FA Selangor akan terus menggunakan logo sedia ada. Begitu juga Selangor FC akan turut mengekalkan logo keramat Selangor yang asal berbentuk perisai, dengan lambang jata Selangor di bahagian atas. Namun kelainan pada logo Selangor FC berbanding logo asal hanyalah pada perkataan persatuan yang digantikan dengan perkataan kelab.

“Keputusan untuk terus menggunakan reka bentuk logo sedia ada untuk Selangor FC diambil kerana logo ini cukup bermakna dan simbolik, selain telah lama sebati dengan pasukan Gergasi Merah. Ianya juga merupakan lambang keberanian dan kedaulatan yang ada pada pasukan Selangor dan dilihat tidak mudah untuk ditukarkan begitu sahaja.

“Namun demikian, ini tidak bermaksud Selangor FC tidak akan membuat sebarang perubahan terhadap identiti pasukan. Sebarang proses perubahan identiti pasukan mungkin akan berlaku di masa hadapan, sekitar dua atau tiga tahun yang akan datang,” ujarnya.

 

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: