Bola Sepak Semasa Terkini

Harimau Kumbang buru sejarah

Kemasukkan Casagrande pada separuh masa kedua nyata memberikan impak buat pasukan apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-48.

SELEPAS mencapai matlamat beraksi di Liga Super musim depan, Pulau Pinang kini memburu gelaran kejuaraan Liga Perdana untuk mencipta sejarah.

Mengutip 23 mata dan mendahului tiga mata mengatasi Kuala Lumpur dengan berbaki dua perlawanan, skuad bimbingan Manzoor Azwira Abdul Wahid hanya memerlukan satu kemenangan dan satu seri untuk mengesahkan kejuaraan milik mereka.

Skuad Harimau Kumbang dijadual akan bertemu Kelantan United di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Jumaat ini dan seterusnya menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 9 Oktober.

Seandainya Pulau Pinang meraih tiga mata menentang Kelantan United dilaman sendiri manakala Kuala Lumpur  gagal meraih mata pada pertembungan dengan Perak II, juara Liga Perdana bakal diraih Pulau Pinang tanpa menunggu aksi menentang Terengganu FC II ditempat lawan.

Bagi Manzoor Azwira, objektif pertama pasukan untuk layak Liga Super telah tercapai dan kini tumpuan pastinya terarah kepada gelaran kejuaraan selain rekod tanpa kalah pasukan.

“Kami berpeluang mencipta sejarah, pasukan akan memberikan tumpuan sepenuhnya dari satu perlawanan ke perlawanan berikutnya, saya telah ingatkan pemain untuk meneruskan momentum kemenangan.

“Kita boleh bergelar juara kalau dapat elak kekalahan atau menang satu dan seri satu pada baki perlawanan akan datang,” katanya selepas aksi menentang UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam.

Pada perlawanan tersebut, UKM terlebih dahulu mendahului pelawat melalui jaringan pemain importnya, Akanni-Sunday pada minit ke-17, namun skuad Harimau Kumbang bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Casagrande pada minit ke-48 dan sepakan penalti rakan senegaranya, Endrick Dos Santos pada minit ke-66 memberi mata kemenangan kepada Pulau Pinang.

Sementara itu, ketua jurulatih UKM FC Sulaiman Hussin mahu pemainnya melupakan kekalahan itu, sebaliknya fokus untuk aksi menentang Selangor 2 dan Perak II dalam usaha mencari slot ke saingan Piala Malaysia yang bakal berlangsung bermula 17 Oktober hingga 7 November nanti.

“Kita perlu bersedia untuk dua perlawanan seterusnya, sangat penting kalau kita mahu ke Piala Malaysia. Kedudukan liga pun sangat rapat, kalau pemain boleh bermain macam hari ini dan tingkatkan lagi prestasi, kita boleh layak,” ujarnya.

Sebanyak 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan teratas carta Liga Premier, tidak termasuk pasukan simpanan layak beraksi pada saingan Piala Malaysia musim ini, yang akan berlangsung secara format kalah mati satu pusingan.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: