
PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh menyifatkan kejayaan skuad bimbingannya membenam Kedah umpama tonik bagi mengharungi perlawanan seterusnya dalam saingan Liga Super.
Ketinggalan pada pelawat namun Tok Gajah yang turun dengan beberapa pemain masih dibelenggu kecederaan bagaimanapun bangkit dipenghujung babak pertama sebelum gol kedua terhasil diawal separuh masa kedua bersambung.
Bagi Dollah, kejayaan menewaskan Kedah 2-1 menyuntik semangat kepada Tok Gajah untuk bertemu Perak pada aksi seterusnya walaupun dihantui masalah kecederaan.
“Kita turun dalam keadaan pemain masih berdepan dengan masalah kecederaan seperti penyerang Faisal Abdul Halim dan Dickson Nwakaeme yang terpaksa diturunkan juga dalam perlawanan ini sebagai strategi taktikal pasukan.
“Bagaimanapun, dalam keadaan itu semangat juang pasukan kuat dan kita berjaya menguasai permainan, namun satu kesilapan mudah menyebabkan Kedah memperoleh gol pendahuluan hasil serangan balas mereka,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui tidak terkejut dengan kekalahan itu kerana menyedari Pahang sebuah pasukan gergasi yang sukar untuk dijinakkan.
“Lawan mempunyai pemain yang berkualiti, mendahului tidak semestinya memenangi perlawanan. Kami belajar dari perlawanan ini, begitu juga pemain.
“Pemain tetap memberikan saingan dan berusaha menjaringkan gol, pujian buat Pahang,” jelasnya.
Pada perlawanan itu, Kedah mengejutkan tuan rumah dengan jaringan awal menerusi penyerang import Tchetche Hermann Kipre memaksa Pahang untuk kembali mengatur langkah sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-40 menerusi jaringan Adam Reed.
Pemain muda Tok Gajah, Nik Sharif Hasefy Mohd Lazim muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-46, sekali gus membolehkan Pahang meraih tiga mata berharga.
Add Comment