Bola Sepak Semasa Terkini

UKM tekad calar rekod Pulau Pinang

Barisan pemain UKM FC meraikan kejayaan meraih tiga mata menewaskan Kelantan United, 1-0.

KAPTEN UKM FC, Asnan Ahmad kekal positif untuk mereka mencalar rekod bersih tanpa kalah Pulau Pinang dalam pertembungan Liga Premier 2020, petang esok.

Asnan mengakui lawan mereka pada minggu ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang bukan calang-calang lebih-lebih lagi Pulau Pinang dalam misi untuk merebut trofi Liga Premier dan semestinya mereka memerlukan kemenangan untuk kekal di takhta liga.

Walaubagaimanapun, pemain berusia 27 tahun ini menyifatkan siapa pun lawan yang akan dihadapi, mereka tidak boleh terus tersungkur selepas kali terakhir mereka merekod kemenangan ketika bertemu Kelantan United sebelum seri dengan Terengganu II, minggu lalu.

Apa yang pasti, skuad kendalian Sulaiman Hussin itu yang kini menghuni tangga kelapan liga perlu bekerja keras andai mahu mencipta kejutan.

“Kami sebenarnya lebih memikirkan bagaimana cara untuk kami mendapat tiga mata nanti, bukannya berniat untuk halang Pulau Pinang daripada merebut trofi liga.

“Jadi tidak kira pasukan mana sama ada mereka di takhta liga atau tidak, objektif utama kami adalah untuk menang dan layak ke TM Piala Malaysia.

“Bukan apa, sekarang momentum kami sudah bertambah baik, sekurang-kurangnya kami menang dan seri sebelum ini, dan sebab itu saya harap aksi Sabtu ini, pasukan dapat menang ke atas Pulau Pinang dan tidak boleh tercicir mata,” jelas Asnan.

Pulau Pinang masih lagi belum selesa untuk memastikan trofi Liga Premier menjadi milik mereka kerana hanya dipisahkan tiga mata sahaja daripada Kuala Lumpur yang kini di tangga kedua.

Sudah pasti, mereka juga inginkan kemenangan menentang Selangor 2, malam esok di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur , Cheras.

Dua lagi aksi pada malam esok adalah membabitkan pasukan Kelantan dan Sarawak United manakala Negeri Sembilan akan menentang Kuching FA.

Johor Darul Ta’zim (JDT II) pula akan menghadapi Perak II pada Sabtu dan aksi terakhir akan berlangsung pada Ahad menyaksikan Kelantan United FC akan melawan Terengganu FC II.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: