Bola Sepak Semasa Terkini

PJ City FC terdesak, peluang buat TFC

Devan mengharapkan pemainnya percaya pada diri sendiri yang mereka mampu melakarkan kejutan.

PJ City FC masih bermotivasi tinggi bagi hadapi pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) biarpun masih tercari-cari sentuhan kemenangan sejak enam perlawanan lalu.

Ketua jurulatih PJ City, K. Devan, tidak menafikan yang mereka berada dalam keadaan terdesak mencari kemenangan ekoran kedudukan pasukan yang kini berada di tangga kesepuluh di samping hanya satu mata memisahkan ‘The Citizens’ daripada Sabah yang berada dalam zon penyingkiran.

Motivasi tunggal buat Devan dalam meniupkan semangat kepada anak buahnya ialah kemenangan yang pernah dilakar pada musim lalu ke atas juara enam kali Liga Super itu di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.

Biarpun rekod pertemuan memihak kepada JDT dengan tiga kemenangan berbalas satu (termasuk dua aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia), Devan mengharapkan pemainnya percaya pada diri sendiri yang mereka mampu melakarkan kejutan.

“ Sudah tentu jika rekod pertemuan lalu dijadikan ukuran, pemain saya pasti bermotivasi untuk hadapi perlawanan ini biarpun saya tidak nafikan kelebihan adalah kepada JDT.

“ Kami tiada pilihan lain perlu dapatkan tiga mata dalam perlawanan ini untuk jauhkan diri daripada zon penyingkiran dan kami tidak akan turun bermain secara bertahan sahaja walaupun tahu lawan adalah pasukan terbaik dalam liga jika disentuh aspek serangan.

“ Jika kami memilih untuk bertahan, cara ini tidak akan membantu pasukan sebaliknya kami perlu kurangkan kesilapan ketika lakukan serangan dan semua pemain perlu tanamkan minda untuk bermain secara menyerang, ” katanya.

Satu-satunya perkara yang menggusarkan Devan ialah sentuhan penyudah yang semakin kurang sehingga membantutkan peluang mereka melakar beberapa kemenangan dalam perlawanan sebelum ini.

Berdasarkan statistik, PJ City hanya mampu meledak tujuh jaringan sepanjang saingan liga dengan tiga daripadanya pada lima aksi terakhir pasukan itu sejak 22 Ogos lalu.

“ Kami banyak mencipta peluang dalam perlawanan sebelum ini tetapi pada aspek penyudah, pemain-pemain saya agak kurang menjadi dan perkara ini yang saya sedang perbaiki.

“ Selain itu, kami juga ketiadaan (Demba) Camara kerana dia masih di Guinea bagi selesaikan isu peribadinya dan kami berada dalam keadaan kurang berkelebihan kerana hanya dapat menurunkan empat pemain import.

“ Saya tetap optimis yang kami masih boleh perbaiki pencapaian di tangga kelapan pada musim lalu dengan cuba dapatkan tujuh atau sembilan mata apabila berdepan JDT, UiTM dan PDRM, “ katanya.

Melayan kunjungan PDRM yang menghuni tangga tercorot liga, TFC seharusnya tidak berdepan masalah meraih tiga mata.

Perlawanan lain yang menarik untuk disaksikan pada minggu ini ialah Pahang yang akan menerima kunjungan pasukan di tangga kedua, Kedah di Stadium Darul Makmur pada Sabtu selain Selangor bertemu UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

Terengganu yang telah tewas kali ketiga berturut-turut, sudah pasti mahu mencari sinar kemenangan apabila berdepan pasukan di tangga tercorot, PDRM di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pada Jumaat selain aksi Perak dan Felda United di Stadium Perak juga dijangka berlangsung penuh sengit.

Satu-satunya aksi yang berlangsung pada Ahad ialah pertemuan Sabah dengan Melaka di Stadium Likas yang akan berlangsung pada jam 8.15 malam.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: