
SELEPAS Kedah mencatatkan kemenangan kelima berturut-turut pada saingan Liga Super 2020, lawan seterusnya adalah Pahang yang bakal dihadapi mereka di Kuantan, Sabtu ini.
Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak mengakui mereka berdepan tugas berat untuk terus meraih tiga mata penting dan mahu anak buahnya tidak memandang ringan perlawanan tersebut.
Menurutnya, pasukannya perlu segera melupakan kemenangan mengatasi Sabah 3-1 pada Isnin lalu dan melakukan persiapan segera dalam tempoh yang singkat.
“Kami perlu segera melupakan istilah penat dan sebaliknya berkerja keras dalam tempoh beberapa hari yang ada ini bagi memastikan momentum kemenangan dapat kami teruskan di tempat lawan.
“Kami kini terus berada di Kuala Lumpur selepas aksi bertemu Sabah memandangkan berbaki cuma lima hari selepas perlawanan itu. Pemian perlu mendapatkan tempoh rehat yang secukupnya sebelum berangkat ke Kuantan esok,” katanya.
Aidil Sharin berkata, hanya kemenangan ke atas Pahang sahaja yang akan terus menjamin kedudukan Lang Merah di kedudukan kedua Liga Super 2020 sebelum berdepan Melaka United dan Perak.
Jelasnya, Kedah perlu berwaspada dengan ancaman Pahang yang akan bermati-matian di laman sendiri dan pengalaman diberi tentangan sengit oleh pasukan tersebut pada musim lalu harus menjadi pedoman kepada anak buahnya untuk turun dengan momentum terbaik.
Add Comment