PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan bahawa badan induk sukan ini tidak berkuasa memberi sebarang lampu hijau kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk memulakan rundingannya dengan Mohamadou Sumareh.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam bagaimanapun tidak menafikan bahawa Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon ada menghubunginya untuk bertanyakan status pemain naturalisasi negara itu.
“Benar Dr. Johan ada menghubungi saya tetapi beliau sekadar bertanyakan status Sumareh dengan Pahang FA.
“Saya memberi keterangan kepadanya berdasarkan status kes, yang mana mengikut pemahaman ketika itu Sumareh sudah membatalkan kontraknya secara sebelah pihak dengan Pahang FA menggunakan klausa yang tertentu yang terkandung di dalam kontraknya, ” katanya.
Stuart menjelaskan, ini kerana FAM ialah badan induk sukan bola sepak yang tidak mempunyai hak memberi sebarang kebenaran yang dimaksudkan.
“Sumareh bukan dimiliki FAM yang mana segala maklumat peribadi, terperinci atau kebenaran hanya membabitkan pemain itu sendiri dan pasukannya, ” katanya.
Hari ini sebuah media arus perdana secara online melaporkan Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon yang berkata pihaknya sudah diberi ‘lampu hijau’ oleh FAM untuk memulakan rundingan bersama Sumareh.
Dalam laporan itu, Dr Johan mempertahankan FAS dengan mengatakan pihaknya tidak melanggar sebarang peraturan.
Add Comment