
KEKALAHAN 1-2 Terengganu di tangan Uitm FC nyata menyukarkan laluan skuad bimbingan Nafuzi Zain untuk memburu kedudukan kedua terbaik Liga Super musim ini.
Bagi Nafuzi untuk berada di tangga kedua, pasukannya perlu kekal menang untuk tiga lagi baki perlawanan selepas ini dan perkara tersebut mungkin sukar untuk dilakukan pasukan Sang Penyu itu.
“Secara peribadi, bagi saya (untuk mendapat tempat kedua), kita harus menang setiap perlawanan. Sebab kalau kita menang, automatik kita berada di atas.
“Pada perlawanan terakhir, kita dapat lihat kita di mana. Tapi sekarang kita sudah kalah tiga perlawanan dan saya rasa kita tidak boleh tercicir mata untuk itu,” katanya selepas perlawanan Liga Super UiTM FC menentang Terengganu FC, semalam.
TFC kini pada kedudukan kedua liga dengan mengutip 10 mata iaitu ketinggalan tiga mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menundukkan Sabah 4-0 pada aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu 29 Ogos lalu.
Namun, ekoran kekalahan malam tadi Terengganu kini di tangga keenam di bawah Melaka United, 10 mata manakala UiTM FC kini selesa menghuni tangga ketiga Liga Super dengan 13 mata.
Pada aksi malam tadi, Victor Nirennold muncul wira UiTM FC apabila berjaya meledak gol kemenangan pada minit ke-59 selepas kedudukan terikat 1-1 hasil jaringan pembukaan Muhamad Arif Mohamed Anwar pada minit keempat dan gol penyamaan pasukan pelawat menerusi kapten Lee Andrew Tuck pada minit ke-38.
Add Comment