
SELEPAS membaham Perak, 7-0, Selangor menjadi mangsa terbaharu Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kecundang 1-6 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Kemenangan ini meletakkan skuad bimbingan Benjamin Mora umpama meraih gelaran Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut dan hanya perlu mencari tiga mata lagi pada baki tiga perlawanan.
Harimau Selatan boleh mengesahkan kejuaraan seandainya berjaya menewaskan PJ City FC apabila bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jumaat ini.
Turun dengan barisan terbaik, Harimau Selatan bagaimanapun diberi tentangan sengit lawan sebelum Safawi Rashid meletakkan pasukan didepan dipenghujung pertama melalui sepakan percuma menarik dari luar kotak penalti yang gagal di penjaga gawang Selangor, Farizal Harun.
Safawi terus membuktikan ketajaman penyudah apabila menjaringkan gol kedua selang empat minit babak kedua bermula melalui sepakan penalti sebelum Diogo Luís Santo turut mencetak nama penjaring pada minit 64 dan Gonzalo Cabrera tiga minit kemudian untuk meletakkan tuan rumah selesa dihadapan dengan kelebihan empat jaringan tanpa balas.

Kerakusan Harimau Selatan tidak terhenti disitu apabila pemain muda meningkat naik Ramadhan Saifullah Usman menjaringkan dua gol pada minit 72 dan 75 sebelum Selangor memperolehi gol saguhati jaringan Rufino Segovia pada minit 81.
Sementara itu dalam satu lagi aksi Liga Super, Terengganu FC turut menerima nasib yang sama seperti Pahang apabila kecundang 1-2 pada UiTM FC.
Jaringan awal Arif Anwar pada minit keempat memberikan petanda positif buat tuan rumah sebelum ketua pasukan pelawat, Lee Andrew Tuck menyamakan kedudukan pada minit ke 37.
Namun anak buah Nafuzi Zain terpaksa akur dengan kekalahan apabila ketua pasukan, Victor Nirennold memastikan The Lions kembali menemui rentak kemenangan dengan meledak gol pada minit ke 59 dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.
Add Comment