
Kelantan United FC mengumumkan pelantikan Nazrulerwan Makmor sebagai jurulatih interim mengendalikan kelab itu mengharungi baki saingan Liga Premier musim ini.
Jurulatih berusia 40 tahun itu diberi tanggungjawab mengemudi kelab berkenaan menghadapi baki empat perlawanan liga dengan tumpuan utama adalah layak beraksi ke kempen Piala Malaysia.
Keputusan menamakan Nazrulerwan yang merupakan bekas jurulatih KL Rovers dibuat bagi menggantikan Zahasmi Ismail yang direhatkan susulan prestasi hambar kelab berkenaan dalam tiga perlawanan berturut-turut selepas Liga Malaysia disambung, 26 Ogos lalu.
Pada 15 September lalu, Kelantan United FC mengumumkan Zahasmi bersama dua pembantunya, Sazami Shafii dan Zahariman Ghazali direhatkan susulan kemerosotan prestasi pasukan itu.
Tugas pertama Nazrulerwan adalah mengendali pasukan itu untuk menghadapi Sarawak United FC di Kuching, malam esok.
Untuk rekod, Nazrulerwan, bekas pemain pertahanan berasal dari Selangor pernah menyarung jersi Melaka, Sabah, Johor, Pahang, KL Plus FC dan Felda United FC sepanjang kerjaya selaku pemain bermula 2002 sebelum menggantung but, pada 2013.
Dalam bidang kejurulatihan pula, dia pernah dilantik sebagai penolong jurulatih PDRM (2014-2015), Perlis (2016), UiTM FC (2017) dan Puchong Fuerza FC (2018-2019).
Dia akan dibantu bekas jurulatih skuad B-21, Hamdan Mohamad yang dinaik taraf selaku penolong jurulatih Kelantan United FC.
Dalam pada itu, pihak pengurusan turut melantik bekas pengurus skuad B-21, Rozi Muhammad sebagai pengurus baharu Kelantan United FC, berkuatkuasa serta-merta.
Add Comment