
KHABAR angin yang melanda peminat Kelantan United (KUFC) mengenai kedudukan pengendalinya, Zahasmi Ismail akhirnya terjawab apabila bekas pemain Kelantan itu direhatkan selepas melihat situasi semasa pasukan.
Menerusi siaran media yang dikeluarkan KUFC sebentar tadi, selain Zahasmi, dua pembantunya Sazami Shafii dan Zahariman Ghazali turut menerima nasib yang sama.
“KUFC dalam mesyuarat khas malam tadi di Kota Bharu telah mengambil maklum bahawa ketua jurulatih, Zahasmi Ismail telah tidak turun menjalankan tugasnya melatih pasukan sebagai persediaan pertemuan Liga Premier Malaysia 2020 minggu kelapan melawan Sarawak United di Kuching, Jumaat ini.
“Sehubungan itu, pihak pengurusan tertinggi dalam mesyuarat berkenaan dengan sebulat suara telah bersetuju untuk merehatkan Zahasmi Ismail bersama dua pembantunya, Sazami Shafii dan Zahariman Ghazali sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.
“Keputusan drastik ini terpaksa diambil setelah perbincangan menyeluruh dari pihak kelab kerana melihat situasi semasa pasukan yang memerlukan jurulatih bagi menghadapi baki empat perlawanan Liga Premier Malaysia dalam masa terdekat.
“Selaras dengan itu, KUFC telah mencari jurulatih baharu sementara mengisi kekosongan itu. Seterusnya Kelantan United FC adalah diharapkan kembali menunjukkan persembahan memberangsangkan seperti yang ditunjukkan pada permulaan saingan.
“Bagaimanapun, pihak kelab merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Zahasmi Ismail serta pembantunya atas khidmat mereka membantu Kelantan United FC sejak musim 2019 sehingga membawa kepada kejayaan muncul juara Liga M3 dan layak ke Liga Premier Malaysia musim ini,”,” ujar kenyataan tersebut.

Add Comment