
SUBKHI SUDARJI
MENJELANG pertembungan getir menentang peneraju liga dan juga juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), kekuatan mental dan keyakinan tinggi diperlukan seandainya Terengganu FC (TFC) ingin meraih keputusan positif di laman sendiri malam ini.
Selepas kecundang 0-1 di tangan Melaka United sebelum ini, anak didik Nafuzi Zain perlu menggandakan aksi mempertajamkan serangan apatah lagi kejayaan JDT membelasah Perak, 7-0 sesuatu yang mengejutkan memandangkan skuad kendalian Mehmet Durakovic dilihat antara pesaing dalam saingan Liga Super kali ini.
Bagi Nafuzi, pemain perlu mempunyai keyakinan mental yang kuat apabila berdepan dengan pasukan Harimau Selatan dan perkara ini sering diingatkannya.
“Itu antara perkara yang saya selalu ingatkan buat pemain-pemain kerana mental kita akan banyak mempengaruhi permainan kita dan permainan kita inilah yang akan menentukan gerakan taktikal dan strategi yang kita rancang itu berhasil.
“Dari segi persediaan, pasukan kita dilihat telah bersedia, walaupun ada beberapa pemain masih mempunyai sedikit kecederaan namun ianya tidak serius dan dapat diturunkan bagi perlawanan pada Jumaat ini.
“Apa yang pasti pasukan kita akan turun menentang pendahulu liga ini dengan semangat yang tinggi dalam misi untuk kembali bangkit seterusnya untuk mendapatkan keputusan positif ,” ujarnya dipetik melalui laman FB Terengganu Football Club (TFC).
Add Comment