Bola Sepak Semasa Terkini

Faizal kecewa gagal bantu UiTM

UiTM FC kini meraih dua kemenangan berturut-turut dan bakal menentang Perak di Ipoh, esok.

PENCAPAIAN menduduki tangga keempat CIMB Liga Super selepas enam perlawanan diibaratkan seperti satu mimpi buat ketua pasukan UiTM FC, Faizal Arif, yang langsung tidak menjangka mereka mampu bersaing sehingga setakat ini.

Hasil dua kemenangan berturut-turut ke atas Pahang dan Felda United menerusi keputusan 1-0, dia mengakui pasukan kendalian Frank Bernhardt itu telah membuka mata ramai pemerhati terhadap keputusan luar biasa yang dicatatkan UITM.

Namun, pasukan dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) itu berdepan misi yang sukar menjelang perlawanan pada esok menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh yang pasti mahu mencari semangat yang hilang selepas tewas besar 0-7 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Tambah memeritkan buat Faizal, dia sendiri tidak dapat turun dalam perlawanan terbabit ekoran digantung satu perlawanan selain pemain import, Rabih Ataya lantas mengharapkan rakan-rakannya dapat meneruskan aksi konsisten serta cuba mencuri mata di Ipoh.

“Saya dan rakan-rakan sebenarnya seakan tidak percaya dengan apa yang kami telah capai hari ini, kerana rata-rata daripada kami majoritinya terdiri daripada pemain Bawah 23.

“Biarpun pada awal musim, ramai mengatakan kami masih belum layak beraksi di Liga Super namun kami telah membalas kepercayaan mereka melalui beberapa keputusan yang membanggakan.

“ Namun, saya harap rakan-rakan dapat mengekalkan fokus pada perlawanan seterusnya iaitu bertemu Perak yang saya boleh katakan pasti sukar kerana lawan mahu mencari sesuatu dan mahu bangkit daripada kekalahan lepas.

“ Kami masih menghormati kemampuan Perak yang dianggap sebagai salah satu pasukan yang kuat tetapi saya yakin kemampuan rakan-rakan mampu untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata di Ipoh.

“ Kami akan teruskan corak permainan intensiti tinggi yang menjadi kekuatan kami kerana itu menjadi senjata terbaik berdepan pasukan-pasukan elit Liga Super yang sememangnya kaya dengan pengalaman, ” katanya.

Pertembungan Terengganu dengan JDT malam esok juga menarik selepas tuan rumah kecewa 0-1 di tangan Melaka United sebelum ini.

Aksi lain yang turut menggamit perhatian ialah pertembungan dua pasukan teratas, Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Berdasarkan perbezaan enam mata antara kedua pasukan, ini merupakan kesempatan terbaik kepada kedua-dua pasukan sama ada Terengganu FC bagi merapatkan jurang atau JDT untuk memperkukuhkan kedudukan di tangga teratas.

Perlawanan Selangor dan Melaka di Stadium UiTM juga dijangka pasti sengit tambahan kedua-dua pasukan berada di prestasi terbaik bagi mendaki kedudukan carta liga.

Pahang pula yang masih mencari rentak kemenangan tidak boleh memandang rendah kemampuan PDRM di Stadium Darul Makmur pada Sabtu tambahan skuad kendalian Ishak Kunju itu berjaya mengikat Felda United 1-1 pada perlawanan minggu lalu.

Dua lagi perlawanan yang turut berlangsung pada Sabtu ialah PJ City FC menentang Sabah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya selain di Stadium Tuanku Abduk Razak, Jengka yang melibatkan perlawanan Felda United dan Kedah.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: