PEMILIK Kelantan, Norizam Tukiman mengimpikan The Red Warriors (TRW) akan lebih hebat dari Johor Darul Ta’zim (JDT) pada masa akan datang yang kini dilihat mendominasikan saingan Liga Malaysia (Liga M) selama enam musim berturut-turut.
Jelasnya, semua ini memerlukan kesabaran penyokong Kelantan kerana baginya tidak mustahil sesuatu yang besar atau hebat mampu dikalahkan.
“Harap penyokong Kelantan bersabar dan Insyallah kita akan lebih hebat dari JDT. Itulah impian saya kerana kita perlukan impian jangka pendek, pertengahan dan juga panjang. Kita perlu ada sasaran.
“Kalaulah contohnya Nokia (syarikat pengeluaran telefon bimbit) boleh dikalahkan oleh Samsung, banyak benda-benda besar yang dikalahkan, jadi pada saya tiada benda yang mustahil. Kalau benda itu bisnes yang besar pun boleh tumbang kenapa tidak boleh pasukan bola sepak.
“Maksudnya bukanlah saya kata JDT akan tumbang, JDT mungkin kekal tetapi kita mahukan persaingan, kalau takda persaingan kita akan bosan. Setiap perlawanan berlangsung kita dah tahu JDT akan menang,” jelasnya Astro Arena ketika ditemubual dalam rancangan Bola@Mamak, sebentar tadi.
Impian dan hasrat ini jika dilihat ada benarnya berdasarkan kenyataan Norizam atau lebih dikenali sebagai ZamSaham yang memberi bayangan awal akan merombak pasukan termasuklah membawa pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan selepas skuad kendalian Yusri Che Lah ini sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang Selangor 2, Sabtu lalu.
Add Comment