Bola Sepak Semasa

Perak perlu bangkit, MU calar reputasi TFC

Safawi turut meledak gol membantu kemenangan JDT ke atas Perak.

PERAK perlu bangkit dengan segera daripada dua kekalahan berturut-turut dalam saingan CIMB Liga Super 2020 sekiranya enggan terus tersungkur ke kedudukan bawah liga.

Bermula agak baik pada awal musim tanpa sebarang kekalahan untuk berada di kedudukan ketiga pada minggu lalu, Perak dikejutkan dengan kekalahan besar 7-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat lalu meletakkan mereka di tangga ketujuh ketika ini.

Ia jelas mengecewakan skuad kendalian Mehmet Durakovic ini dan beliau perlu melakukan sesuatu bagi menyuntik moral anak buahnya apabila berdepan UiTM FC pada Jumaat depan di Stadium Perak, Ipoh.

Jelasnya, kesilapan yang dilakukan di Stadium Sultan Ibrahim tidak boleh berulang lagi dan sekarang adalah masa untuk mengumpul kembali kekuatan pasukan bagi memastikan Perak tidak terus kempunan untuk memperoleh kemenangan.

“Saya akui memang kesilapan pasukan kami menyebabkan kami kalah besar dengan JDT, tetapi sekarang ini adalah masa untuk pasukan belajar balik daripada kesilapan bagi perlawanan seterusnya.

“Kami kembali ke Ipoh, duduk berbincang dan menilai kembali apa yang sudah berlaku ketika menentang JDT selain semua pemain akan menjalani pemulihan kembali untuk kita sama-sama bangkit kembali bagi mendapatkan tiga mata di laman sendiri.

“Apa yang penting, diharapkan semua pemain akan terus bersemangat dan mendapatkan semula keyakinan diri daripada kekalahan itu, kerana perlawanan seterusnya menentang UiTM ini memang penting untuk kami”, jelasnya.

Rafie Yaacob memanfaatkan kesilapan penjaga gawang Pahang, Sharbinee Allawee untuk meledak gol tunggal UiTM.

 

Senasib dengan Perak adalah pasukan Pahang yang turut sama berdepan kekalahan buat kali kedua ketika berdepan UiTM FC, semalam di Stadium UiTM Shah Alam dengan keputusan 1-0.

Dalam 6 perlawanan setakat ini, skuad bimbingan Dollah Salleh ini hanya memperoleh dua kemenangan sebelum terus tersungkur dalam dua perlawanan terdahulu untuk berada di bawah Perak dengan perbezaan dua mata.

Justeru, Dollah nekad untuk melakukan sedikit rombakan dalam pasukan bagi aksi seterusnya menentang pasukan PDRM di laman sendiri pada Sabtu depan khususnya di bahagian tengah dan serangan yang sering menjadi masalah utama.

“Memang saya kecewa apabila kita tewas dengan UiTM FC dan memang saya sudah boleh jangkakan sebelum perlawanan apabila pasukan kita ramai yang pemain cedera dan serba tidak menjadi.

“Sebab itu, saya akan membuat sedikit rombakan selepas ini berdasarkan keadaan sekarang dengan Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos cedera, dengan situasi Mohamadou Sumareh lagi, jadi saya memang kena buat sesuatu khususnya di bahagian tengah dan serangan”, katanya.

Terengganu kecundang tipis pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Selain itu, Terengganu FC (TFC) juga berputih mata di Stadium Hang Jebat apabila Melaka United berjaya lebur rekod tanpa kalah TFC sejak 4 perlawanan terdahulu dengan kemenangan 1-0 pada Jumaat lalu.

TFC kekal di tangga kedua liga setakat ini tetapi bersaing rapat dengan Kedah yang nampaknya kembali bangkit untuk berada di kedudukan ketiga selepas mencatat kemenangan berterusan ketika menentang PJ City FC dengan keputusan 2-1, semalam.

Kemenangan UiTM FC dan Melaka pula meletakkan mereka masing-masing di kedudukan keempat dan kelima manakala Selangor menghuni tangga keenam selepas menang 2-1 ke atas Sabah.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: