
SUBKHI SUDARJI
KETUA Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah memohon maaf kepada pemilik baharu pasukan, Norizam Tukiman selepas gagal menghadiahkan kemenangan sulung apabila sekadar seri tanpa jaringan pada aksi menentang Selangor 2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Norizam yang sebelum ini meletakkan sasaran kemenangan pada baki saingan Liga Premier selepas bergelar pemilik The Red Warriors (TRW) turut hadir menyaksikan perlawanan yang didominasikan Kelantan namun ketumpulan jentera serangan dan ketangkasan penjaga gawang Selangor 2, Muhd. Firdaus Irman Fadhil menafikan kemenangan untuk dibawa pulang ke Kota Bharu.
Bagi Yusri, kehadiran pemilik baharu pada perlawanan malam ini sudah tentunya mengharapkan kemenangan namun sebaliknya berlaku.
“Saya rasa dia (Norizam) hadir dengan keinginan melihat kejayaan pasukan meraih tiga mata, saya memohon maaf apa yang berlaku, gagal memastikan kejayaan buat pasukan dan mengharapkan pemainnya mengambil iktibar pada perlawanan ini dan baki seterusnya.
“Pemain telah melakukan tanggungjawab, walaupun dalam hati saya memang menginginkan kemenangan dan agar sukar dengan keputusan ini namun ini ketentuan Allah, saya redha serta percaya pemain akan beraksi lebih baik pada perlawanan akan datang,” jelasnya.
Pada perlawanan tersebut, skuad TRW mendapat kelebihan awal selepas pengadil perlawanan menghadiahkan penalti setelah pemain import, Felix Chidi Olidi dijatuhkan pada minit ke-8 namun gagal disempurnakan oleh Lazarus Kaimbi selepas mudah ditepi penjaga gol Selangor 2, Muhd. Firdaus.
Meskipun Selangor 2 beraksi dengan 10 pemain, keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat perlawanan.

Mengulas aksi pasukannya, Yusry mengakui pasukannya bermula agak perlahan untik menyesuaikan diri dengan corak permainan lawan selain kegagalan penyerang melaksanakan tanggungjawab menyebabkan pasukan terpaksa berkongsi satu mata.
“Babak pertama kami agak perlahan selain gagal mendahului lawan, namun 45 minit seterusnya saya melakukan sedikit perubahan dengan memperkemaskan bahagian tengah selepas melihat lawan mendominasi bahagian tersebut.
“Kami hadir ke sini dengan kekurangan pemain ekoran kecederaan dan penggantungan perlawanan, hanya 17 pemain berada dalam senarai dan tiga adalah penjaga gawang. Begitu juga beberapa rombakan posisi terpaksa dilakukan dan alhamdulillah pemain berjaya menggalas tanggungjawab tersebut,” tegasnya.
Add Comment