Bola Sepak

Jentera serangan KUFC tumpul


PENGENDALI Kelantan United (KUFC), Zahasmi Ismail ternyata kecewa dengan jentera serangan yang tumpul sehingga terpaksa berputih mata apabila gagal meraih kemenangan ketika menerima kunjungan Kuala Lumpur dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Jelasnya,  walaupun secara keseluruhannya bepuas hati dengan corak permainan dipamerkan pasukan, namun kecewa dengan barisan penyerang yang gagal memanfaatkan peluang di hadapan pintu gol lawan.

“Kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun penyerang kami bermasalah menyebabkan pasukan  lawan buat serangan balik dan menjaringkan gol,” katanya.

Pada perkembangan sama, tumpuan akan diberikan kepada usaha memperkuatkan jentera serangan KUFC bagi mengharungi baki lima perlawanan sekali gus melonjakkan pasukan itu ke saingan Liga Super musim depan.

“Jentera serangan harus mengubah sikap mereka manakala pemain di posisi lain pula perlu mengurangkan kesilapan yang boleh menghukum pasukan sendiri.

“Kami akan bertemu pasukan berstatus kelab yang berada di kedudukan bawah daripada pasukan kami. Oleh itu, saya mahu pemain mengambil kesempatan dalam perlawanan ini,” ujarnya.

Pada perlawanan semalam, KUFC  tewas 0-2 kepada ‘The City Boys’ menerusi dua jaringan pemain import dari Brazil, Paula Josue pada minit ke-63 dan minit ke-90.

Selepas enam perlawanan, KUFC kini berada di kedudukan kelima dengan sembilan mata hasil daripada tiga kemenangan.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d