Bola Sepak

KL lonjak ke tangga kedua


Kuala Lumpur menewaskan Kelantan United FC 2-0 pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

Kapten pelawat, Paulo Josue muncul wira apabila meledak dua gol dalam babak kedua untuk menceriakan skuad warga kota membawa pulang tiga mata dari Kota Bharu.

Bagi Kuala Lumpur, kemenangan tersebut membolehkan mereka berkongsi 14 mata dengan Pulau Pinang namun dipisahkan perbezaan jaringan untuk berada di tangga kedua.

Kedua-dua pasukan yang tampil dalam perlawanan kedua sebaik liga disambung bermula 26 Ogos lalu tampak saling berbalas serangan pada awal permainan namun gagal mencipta gerakan berbahaya.

Ketika aksi memasuki minit ke-18, Kuala Lumpur berpeluang memecah kebuntuan namun ketangkasan penjaga gol tuan rumah, Mohd Shahrizan Ismail berjaya menafikan tandukan berbahaya Francis Kone berpunca hantaran silang Mohd Qayyum Marjoni Sabil.

Pelawat terus memberi tekanan ke atas skuad kendalian Zahasmi Ismail namun percubaan leret Josue terlalu lemah sekali gus mudah diselamatkan Mohd Shahrizan, pada minit ke-27.

Nasib belum memihak Kuala Lumpur untuk mencipta jaringan apabila sepakan bebas dari luar kotak penalti yang diambil pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin singgah di palang ketika Mohd Shahrizan sudah tertewas di gawangnya, tiga minit kemudian.

Satu-satunya peluang terbaik Kelantan United FC untuk mendahului pelawat hadir pada minit ke-35 namun tandukan Gassama Alfusainey hasil sepakan penjuru Mohd Shahrul Hakim Rahim sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Mohd Nidzam Adzha Yusoff terus menguasai permainan dengan Indra Putra hampir membuka akaun jaringan namun percubaannya ditepis keluar Mohd Shahrizan, pada minit ke-51.

Penyerang import Kuala Lumpur, Francis Kone melonjak tinggi menanduk bola ke gawang Kelantan United FC pada aksi Liga Premier yang berlangsung di Kota Bharu, sebentar tadi.

Kerja keras skuad The Hawks akhirnya membuah hasil apabila Josue yang tidak dikawal di dalam kotak penalti tenang menampan masuk hantaran lintang Abdul Azim Rahim untuk membolehkan pelawat mendahului 1-0, pada minit ke-63.

Tertekan dengan jaringan itu, tuan rumah kembali memperkemaskan corak permainan mereka tetapi rembatan deras Gassama tertampan bek import Kuala Lumpur, Azammat Baimatov pada minit ke-75.

Sebaliknya pada minit ke-81 pelawat hampir menambah gol kedua namun mujur tandukan Kone hasil sepakan percuma Josue sedikit melewati palang sekali gus terselamat pintu gol Kelantan United FC daripada dibolosi.

Josue membunuh sisa perjuangan pemain Kelantan United FC apabila sepakan bebas dilakukannya menerjah jaring dalam masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan 2-0 buat pasukannya.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d