Bola Sepak

Kelantan tempang berdepan Selangor II


Pemain Kelantan mendengar arahan dari Yusri Che Lah pada seisi latihan sebagi persiapan menentang Selangor II.

 

KELANTAN  berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya dalam keadaan tempang untuk berdepan Selangor II pada saingan Liga Premier, malam esok.

Ketua Jurulatih, Yusri Che Lah berkata, persiapan pasukannya terjejas berikutan kehilangan ramai tonggak utama untuk bertemu skuad bimbingan Micheal Feichtenbeiner itu.

Menurutnya, paling kritikal adalah posisi pertahanan yang menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) hilang khidmat empat pemain termasuk awang import susulan penggantungan perlawanan dan masalah kecederaan.

“Kita bersyukur TRW dimiliki pemilik baharu disamping semangat pembaharuan pasukan tetapi dalam keadaan ini kita tidak boleh lari daripada perkatakan bahawa kita hilang lima pemain sebelum berlepas ke Kuala Lumpur, hari ini.

“Kita hilang Masaki (Watanabe), Mohd Khairul Asyraf (Ramli) kerana digantung serta Mohd Farisham (Ismail) dan Afiq (Saludin) yang masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan.

“Sebelum ini pun dua pemain pertahanan menarik diri (daripada pasukan), jadi kita sudah kekurangan pemain di posisi ini,” katanya kepada Cakap Sukan hari ini.

Sejujurnya, pengendali kelahiran Perlis itu mengakui
kesukaran untuk merencana percaturan taktikal lebih-lebih lagi hilang ramai pemain di posisi tersebut.

Jelasnya lagi, dia tidak mempunyai opsyen selain terpaksa merombak kesebelasan pasukan dengan menukar pemain di posisi tertentu bagi menyesuaikan dengan strateginya untuk pertemuan itu.

“Kita baru tewas 0-3 kepada Pulau Pinang dan saya harap barisan pemain bangkit walaupun ketiadaan Masaki sememangnya merencatkan perancangan saya sebenarnya.

“Ketiadaan semua pemain ini memaksa saya menukar lagi posisi pemain tertentu untuk merencana taktikal,” ujarnya.

Pada masa sama, Yusri mengakui cabaran getir menanti Kelantan untuk mencuri mata di tempat lawan memandangkan pasukan pembangunan Selangor itu dilihat berada pada prestasi terbaik mereka, ketika ini.

“Kita sedia maklum Selangor II walaupun dibarisi pemain lokal tapi cukup berdaya saing dengan rekod dalam tiga perlawanan terakhir mereka mendapat kemenangan.

“Kita perlu berhati-hati dengan corak permainan Selangor II yang mana jurulatihnya (Feichtenbeiner) adalah (bekas) jurulatih saya.

“Dan saya rasa kalau kita lihat corak permainan mereka baru-baru ini, saya boleh jangka apa dia lakukan dahulu dan saya harap kita dapat mencuri mata di sana nanti,” jelasnya lagi.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading