PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memuji langkah kelabnya untuk merekrut Donny van de Beek dari Ajax Amsterdam.
Malam tadi, menurut kenyataan laman rasmi mereka, Manchester United menyatakan bahawa Van de Beek telah sepakat mengikat kontrak berdurasi lima tahun serta opsyen lanjutan selama satu tahun.
Meskipun tidak dinyatakan secara terperinci, tetapi media Inggeris menyebut bahawa Manchester United perlu mengeluarkan dana yang mencecah 40 juta euro tambahan 5 juta euro dalam bentuk bonus kepada Ajax untuk mendapatkan Van de Beek.
“Donny memiliki semua sifat dan teknik yang diperlukan untuk bermain dalam pasukan ini dan memiliki sikap untuk berjaya di Manchester United.
“Kemampuannya untuk melihat ruang, ketepatan pergerakan dan membaca permainan akan melengkapkan kualiti pasukan di bahagian tengah.
“Kedatangannya akan memperkukuh lagi bakat pemain muda yang kami miliki di posisi tersebut,” ujar Solskjaer di laman rasmi kelab Manchester United FC.
Solskjaer menambah, pengalaman yang dimiliki Van de Beek bersama Ajax sangat membantu The Red Devils untuk tampil lebih impresif.
“Prestasi Donny di Eredivisie dan Eropah sungguh luar biasa dalam beberapa musim terakhir dan kami semua menantikan untuk bekerja dengannya,” kata Solskjaer.
Sepanjang musim 2019-20, Van de Beek tampil dalam 37 pertandingan di semua pertandingan dan menyumbang 10 gol serta 11 assist bagi Ajax.
Add Comment