SELEPAS gah membenam UKM FC pada saingan minggu lalu, kini tiba giliran Kelantan menanggung aib selepas kecundang 0-3 kepada Pulau Pinang pada saingan Liga Premier, di Stadium Sultan Muhammad ke IV , Kota Bharu, semalam.
Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah mengakui anak buahnya beraksi di bawah tahap sebenar selepas tewas 0-3 kepada Pulau Pinang pada saingan Liga Premier, semalam.
“Kami gagal mengekalkan momentum permainan selepas menang selesa 5-1 ke atas UKM FC, minggu lalu dan mengambil sepenuhnya tanggungjawab terhadap kekalahan itu serta menyeru pemain supaya bangkit semula pada perlawanan seterusnya menentang Selangor II, minggu depan.
“Pemain perlu memperbaiki kelemahan dan bersedia menghadapi baki perlawanan liga yang lebih mencabar, mungkin juga jadual tidak memihak kepada kami, namun kami perlu lalui dengan kerja keras walaupun banyak aspek kekurangan bagi mengharungi saingan musim ini,” ujar pengendali kelahiran Perlis itu.
Pada perlawanan tersebut, pemain import Pulau Pinang, Endrick Dos Santos muncul wira pasukan apabila meledak hatrik menewaskan tuan rumah.
Pemain tengah itu mengambil peluang menjaringkan tiga gol hasil dua sepakan penalti pada minit ke 52, 65 dan satu gol pada masa tambahan.
Untuk rekod selepas lima perlawanan, Kelantan menduduki tangga kelapan dengan empat mata.
Add Comment