Bola Sepak Semasa

Tok Gajah hilang punca

FB_IMG_1598666167832

FOTO : MFL

TOK Gajah bagaikan hilang punca pada 30 minit awal permainan apabila ketinggalan tiga gol sebelum bangkit mengurangkan jumlah defisit namun agak terlewat.

Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan perlawanan dengan kemenangan sensasi 3-2 di Kuantan dan mengukuhkan kedudukan di puncak kempen CIMB Liga Super 2020.

Jelas Dollah Salleh, tiada langsung corak permainan mereka sebaik dibolosi 3-0 dan kesempatan itu dimanfaatkan pasukan lawan.

“Kita hilang punca. Apa pun, saya tetap bangga kerana kita cuba bangkit dan dapat menyaingi JDT walaupun keputusan tak menyebelahi kita.

“Kita juga kehilangan Dickson Nwakaeme yang dikeluarkan pada babak kedua dan hanya mengharapkan juga Faizal Halim untuk dapatkan jaringan.

“Secara keseluruhannya, saya puas hati dengan kemasukan pemain muda yang tetap beri saingan babak kedua,” katanya percaya Pahang akan lebih mantap dalam perlawanan akan datang.

Mengulas norma baharu pada aksi saingan Liga Malaysia, Dollah mengakui ketiadaan penonton turut memberikan kesan terhadap persembahan pasukan.

“Pada perlawanan ini, ia ibarat macam perlawanan persahabatan tetapi kita perlu mengikut saranan kerajaan terutama Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menyekat penularan Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih JDT, Benjamin Mora gembira selepas hampir lima bulan tiada aksi kompetitif akibat pandemik Covid-19, pemainnya mampu mengekalkan rentak permainan.

“Pemain cukup profesional dan kami mengawal bola dengan baik. Banyak peluang terhidang dimiliki dan kami memanfaatkannya.

“Prestasi yang bagus dan pemain harus menikmatinya (kemenangan),” katanya.

Juara bertahan itu kini meraih 13 mata selepas lima perlawanan manakala Pahang menghuni tangga keenam liga, mengutip enam mata.

 

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: