Bola Sepak Terkini

MAS terus taja FAM


PELAKSANAAN sedia ada dan perancangan akan dilaksanakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus memberi keyakinan buat Malaysia Airlines Berhad (MAS) apabila meneruskan penajaan bagi tempoh 2021 hingga 2023.

Sebelum ini MAS telah menjadi rakan penerbangan buat FAM bagi tempoh dua tahun dan bakal berakhir 31 Disember nanti namun perjanjian lanjutan baharu ini menjadi isyarat bahawa kerjasama yang terjalin di antara kedua-dua pihak sejak tahun 2019 adalah cukup baik biarpun pelbagai program dan aktiviti yang dirancang untuk tahun 2020 ini terjejas akibat pandemik COVID-19.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Malaysia Airlines yang mana mereka tetap mahukan kerjasama yang terjalin selama dua tahun sebelum ini diteruskan lagi bagi tempoh tiga tahun yang akan datang.

“Bagi saya, kerjasama di antara FAM dan Malaysia Airlines ini cukup simbolik kerana kedua-duanya merupakan jenama kebangsaan yang begitu sinonim dengan negara kita, Malaysia.

“Peranan kita kepada Malaysia adalah sama. Identiti pasukan kebangsaan adalah identiti perpaduan rakyat Malaysia. Sama seperti Malaysia Airlines, kami di FAM juga mengibarkan bendera Malaysia di mata dunia menerusi bola sepak,” katanya pada majlis perjanjian usahasama tersebut berlangsung di Hilton Petaling Jaya, hari ini.

Dokumen lanjutan perjanjian ditandatangani Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan, Malaysia Airlines Berhad, Lau Yin May sambil disaksikan bersama Hamidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Izham Ismail.

Sementara itu, Izham berkata, pihaknya  teruja untuk memulakan babak seterusnya dalam kerjasama antara skuad bola sepak negara dengan syarikat penerbangan kebangsaan. Kerjasama yang baik dalam berpasukan adalah kunci pada kejayaan setiap usahasama.

“Disiplin dan komitmen pasukan Harimau Malaya mencerminkan keazaman kami dan seluruh rakyat Malaysia untuk turut berjuang mengharumkan nama negara melalui apa saja bidang yang diceburi tidak kira bangsa, usia dan jantina.

“Sejajar dengan Hari Kebangsaan yang akan tiba, ini adalah masa terbaik untuk Malaysia Airlines dan FAM bergabung usaha dan terbang bersama membawa bendera Malaysia ke seluruh dunia,” ujarnya.

Jalinan awal kerjasama bermula apabila Malaysia Airlines menaja penerbangan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe bagi menghadapi Final 2 Piala Suzuki AFF 2018 di Hanoi, Vietnam pada 15 Disember 2018.

Ia disusuli majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Hamidin dan Izham di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 21 Mac 2019 untuk Malaysia Airlines menjadi rakan penerbangan rasmi FAM bagi tempoh dua tahun.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading