Bola Sepak Terkini

Biar saya fikir dulu…


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin akan memikirkan terlebih dahulu cadangan dan sokongan dikemukakan ahli gabungan FAM agar terus menerajui badan induk sukan terbabit bagi penggal 2021-2025.

Meskipun menerima sokongan lebih daripada separuh ahli gabungan supaya jawatan yang disandang ketika ini dikekalkan sehingga 2025,  Hamidin mengambil pendirian tunggu dan lihat untuk menyatakan persetujuan menggalas tanggungjawab berkenaan.

Jelasnya, menggalas tugas sebagai Presiden FAM adalah cukup berat dan perlu bekerja keras terutama untuk tempoh empat tahun akan datang.

“Perkara ini akan dipertimbangkan terlebih dahulu dengan memberikan jawapan bersetuju atau sebaliknya pada mesyuarat kongres tahun depan yang dijangka berlangsung pada April nanti.

“Terima kasih kepada ahli gabungan yang mahukan saya terus menerajui FAM untuk penggal 2021-2025 namun mahu semak dahulu sebelum memberikan jawapan.

“Saya bukan tak mahu terima malah menghargai sokongan yang diberikan ahli gabungan namun jika terima untuk tempoh empat tahun lagi kerja perlu berlipat kali ganda.

“Melihat kepada situasi, bukan mudah untuk mengambil jawatan nombor satu FAM berikutan ia adalah sukan paling utama di negara ini namun sampai masa saya akan buat keputusan,” katanya dalam sidang media pada Mesyuarat Kongres FAM, ke 56, hari ini.

Pada akhir mesyuarat terbabit, separuh ahli gabungan menyatakan sokongan dan pendirian antaranya Persatuan Bola Sepak Selangor, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Persatuan Bola Sepak Perak, Persatuan Bola Sepak Sarawak dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan.

Hamidin yang sebelum ini menyandang jawatan Setiausaha Agung FAM dilantik menyandang presiden ketujuh badan induk bola sepak negara itu untuk penggal 2017-2021.

Pelantikan Hamidin menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menerajui kerusi panas itu diisytiharkan pada Kongres FAM ke-54.

Sementara itu, Kongres Tahunan kali ke-56 meluluskan cadangan Jawatankuasa Eksekutif FAM melantik pengerusi dan ahli untuk Jawatankuasa Pemilihan FAM bagi penggal 2021-2025.

Ia menyaksikan bekas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof  Datuk Dr Abdullah Mohamad Said dipilih sebagai pengerusi, sementara Datuk Ab Jalil Abdullah, Salleh Ramli dan Fong Wan Hor sebagai ahli jawatankuasa berkenaan.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d