LIVERPOOL pula menjadi kelab terbaharu yang dikaitkan memburu pemain Barcelona, Lionel Messi.
Namun, khabar terkini mendedahkan The Reds menarik diri daripada mendapatkan khidmat La Pulga.
Messi dilaporkan tetap pendirian mahu meninggalkan Barcelona dan bintang berusia 33 tahun itu telah mengirimkan surat permohonan untuk meninggalkan kelab pada Selasa dan berharap kontraknya dapat diputus sebelum tahun 2021.
Kapten Barcelona itu ingin mengaktifkan klausa khas yang dimilikinya iaitu boleh meninggalkan Blaugrana semasa tempoh perpindahan sebelum akhir musim 2019/2020.
Begitupun, Barcelona mahu mempertahankan klausa sebanyak 700 juta euro kepada mana-mana kelab yang ingin menarik keluar Messi dari Camp Nou.
Banyak sebenarnya kelab di England mahu membawa masuk pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or tersebut.
Antaranya, Manchester City, Manchester United, Liverpool dan Chelsea dilaporkan termasuk dalam deretan kelab yang berminat memborong Messi di bursa perpindahan pemain.
The Citizens menjadi pasukan utama dalam pemburuan La Pulga, mengingatkan kepada kita bahawa mereka kini dilatih Pep Guardiola yang merupakan bekas jurulatih Messi di Barcelona.
Menurut laporan Sky Sports, Liverpool menjadi pasukan Inggeris pertama yang berkemungkinan besar menarik diri dalam perpindahan Messi.
Juara Liga Perdana Inggeris 2019/2020 itu dikatakan enggan terlibat lagi mengintai pemain 33 tahun berkenaan.
Dalam laporan tersebut, tidak dinyatakan apa alasan Liverpool menarik diri dalam persaingan merebut Messi.
Bagaimanapun, kelab asal Merseyside itu khabarnya sedang fokus untuk mendapatkan pemain Bayern Munich, Thiago Alcantara.
Add Comment