PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan meneruskan program Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) dalam memastikan misi melihat tiga pengadil tempatan diberikan mandat pada kempen Piala Dunia 2026 menjadi kenyataan.
Walaupun berdepan dengan pandemik COVID-19 yang memaksa saingan Liga Malaysia (Liga M) dihentikan sejak Mac lalu dan tiada perlawanan berlangsung namun itu tidak bermakna projek Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRs) tidak dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid berkata, projek pengadil profesional itu tetap berjalan meskipun saingan liga ditangguhkan selama lebih lima bulan.
“Sebenarnya disebakan COVID-19 dan liga ditangguhkan, pergerakan kita terbatas namun projek itu tetap diteruskan di mana kita laksanakan secara dalam talian.
“Kita memang sudah ada senarai akhir pengadil yang sepatutnya diumumkan pada Julai. Kita sudah bincangkan dengan jawatankuasa dan senarai itu akan diumumkan presiden pada tahun depan,” ujarnya pada majlis penyerahan jersi baharu pengadil Liga Malaysia (Liga M) di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Untuk rekod, senarai enam pengadil kebangsaan sudah disenarai pendek untuk menjadi perintis kepada MProRS dan hanya dua terbaik akan ditawarkan kontrak pengadil profesional.
Mereka yang disenarai pendek ialah Muhammad Nazmi Nasaruddin; Mohd Yaasin Mohd Hanafiah; Zulkarnain Zakaria; Muhammad Faizuddin Ismail; Razlan Joffri Ali dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman.
Pada masa sama, Dali turut memaklumkan pengadil Liga M akan ‘berwajah baru’ selepas menerima penajaan daripada Kronos yang menampilkan kelainan dengan rekaan jersi berwarna oren.
“Kelainan ini akan memberi impak buat pengadil untuk memperagakan prestasi yang lebih baik ketika mengadili baki saingan musim ini kerana sebelum ini, jersi pengadil adalah hitam, kelabu, torquoise dan ungu.
“Dengan rekaan baharu ini, ia akan dapat kerap digunaian pengadil kerana kebarangkalian untuk bertembung warna dengan jersi pasukan bertanding sangat rendah,” katanya.
Add Comment