Bola Sepak Semasa

Les’ Copaque taja FAS

PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) menerima penajaan sebanyak RM 120,000 setahun daripada syarikat peneraju industri animasi negara, Les’ Copaque Production bagi program pembangunan bola sepak akar umbi Selangor yang dinamakan sebagai FAS Soccer School.

Les’ Copaque Production yang cukup terkenal dengan animasi pasangan kembar, Upin & Ipin itu buat julung kalinya membuat penajaan dalam arena bola sepak negara.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, Les’ Copaque bersetuju untuk menaja sebanyak RM 120,000 setahun bagi tahun permulaan program ini yang dijangka bermula pada September nanti. Jika program ini berjalan lancar dan lebih banyak penyertaan daripada sekolah lain pihak penaja akan mempertimbangkan semula jumlah tajaan.

“Kita sememangnya mempunyai beberapa KPI yang perlu dicapai dan telah dipersetujui bersama dengan pihak Les’ Copaque. Untuk tahun pertama saya rasa jumlah ini sangat mencukupi bagi program pembangunan akar umbi.

“Program ini menitik beratkan pencarian pemain berbakat dan untuk melihatkan hasilnya mungkin mengambil masa lebih panjang. Saya percaya kami mampu bekerjasama untuk masa jangka yang panjang,” katanya dalam majlis menandatangani perjanjian FAS bersama Les’ Copaque, hari ini.

Bagaimanapun,  FAS tidak mendedahkan tempoh penjanjian penajaan yang ditandatangani namun menjelaskan penajaan itu bergantung kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) program tersebut.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Presiden FAS, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Ketua Pengarah Kandungan Les’ Copaque, Ainon Ariff.

FAS Soccer School yang baharu dilancarkan pada tahun lalu sudah disertai oleh enam buah sekolah di seluruh Selangor dan menyaksikan lebih 500 kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun dengan mendapat tunjuk ajar daripada 24 jurulatih secara langsung dalam program tersebut.

Sementara itu, Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Mohd Radzi mengakui ini merupakan penajaan pertama syarikatnya dalam sukan bola sepak dan beliau berharap kerjasama ini mampu membantu FAS melahirkan lebih ramai pemain berbakat dalam kalangan anak jati Selangor.

“Saya orang Selangor dan syarikat beroperasi di sini. Kita pihak swasta mahu melihat KPI dicapai dan selepas itu baru kita jalankan kerjasama berikutnya.

“Ini merupakan kali pertama kami membuat penajaan dalam bola sepak. Tadi semasa duduk bersama Tengku Amir banyak perkara dibincangkan dan kalau perancangan berjalan lancar maka akan ada lagi perkara yang akan diumumkan selepas ini.

“Baru-baru ini ada juga FAM berhubung dengan pihak kita, memohon penajaan sedemikian tapi kita tengok perjalanan satu-satu program dahulu sebab kita bukannya sebuah syarikat besar,” ujarnya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: