Bola Sepak Semasa Terkini

Yusri tak percaya, Sulaiman akur

Hakimi (kiri) meledak hatrik membantu kemenangan pasukan.

KETUA jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah seolah-olah tidak percaya dengan semangat dipamerkan anak didiknya selepas membenam cabaran UKM FC, 5-1 pada saingan Liga Premier 2020 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), petang semalam.

Tiga gol dari pemain muda, Muhamad Hakimi dan dua gol jaringan pemain inport, Felix Chidi Olidi memastikan pelawat meraih tiga mata penuh selain keputusan jaringan yang agak besar.

Bagi Yusri, apa dipamerkan oleh anak-anak buahnya cukup luar biasa terutama ketika pasukan tersebut dilanda kemelut tunggakan gaji lebih empat bulan.

“Saya bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilakukan oleh pemain di atas padang kerana mereka mendominasi perlawanan dari awal hingga ke wisel penamat meskipun dibelenggu dengan masalah di luar padang.

“Malah, kekangan yang ada sebelum ini seperti kem latihan bermula lewat dan kekurangan aksi persahabatan turut tidak menjejaskan moral pemain untuk memberi 100 peratus di atas padang.

“Ini adalah komitmen dan pengorbanan terbesar barisan pemain dan saya harap keputusan itu menjadi motivasi untuk kami layak ke Piala Malaysia tahun ini,” tegasnya.

Sementara itu, rakan seperjuangannya, Sulaiman Hussin enggan menangisi kekalahan tersebut dan mahu pemainnya terus memberikan tumpuan pada baki tujuh perlawanan akan datang.

“Kesungguhan pemain lawan mengatasi segala-galanya, mereka mendominasikan bahagian tengah, ini saya lihat kelebihan lawan, pemain telah berusaha untuk meraih mata dan mereka mencuba namun nasib tidak menyebelahi kami.

“Saya enggan menyalahkan pemain dan kekalahan ini perlu saya pikul, apa yang pasti kami meneliti kelemahan dan kekurangan pasukan, sebelum perlawanan saya telah ingatkan pemain lawan akan tampil bersemangat walaupun mereka dibelenggu masalah tunggakan gaji.

“Kami banyak melakukan kesilapan mudah dan lawan memanfaatkan situasi tersebut, memang Kelantan berhak memenangi perlawanan ini,” jelasnya.

 

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: