SIAPA menduga, Nur Dhabitah Sabri mencipta sejarah tersendiri dan telah memberikan banyak inspirasi kepada ramai orang walaupun masih lagi muda.
Penerjun negara itu dipilih menyalakan obor kawah untuk upacara pembukaan Sukan SEA 2017, dia menunjukkan keberanian luar biasa dalam melaksanakan tugasnya dengan sempurna.
Atlet bertubuh kecil ini merupakan salah satu daripada empat penerjun yang layak ke Olimpik Tokyo 2021.
Dilahirkan pada 12 Julai 1999, Nur Dhabitah akan membuat penampilan kedua di Olimpik selepas debutnya di Rio 2016.
“Merupakan suatu penghormatan untuk dipilih untuk menyalakan obor kawah di Sukan SEA Kuala Lumpur pada tahun 2017.
“Walaupun saya gelisah, saya tetap tenang untuk melaksanakan menyalakan obor kawah dan itu mendorong saya untuk menjadi atlet yang lebih dinamik dan yakin,” imbas Nur Dhabitah yang dipetik dalam portal olympic.org.my.
Dengan Sukan Olimpik ditunda ke tahun 2021, ini juga memberi Nur Dhabitah lebih masa untuk merenungkan kariernya.
“Empat bulan tinggal di luar kolam adalah saat paling sukar dalam hidup saya.
“Namun, dengan kelonggaran yang diberikan untuk kami kembali ke kolam renang, kami memanfaatkan sepenuhnya untuk kembali ke formula kami seperti sebelumnya,” kata atlet kelahiran Kuala Lumpur.
Nur Dhabitah juga tidak melihat kedudukan podium di Tokyo sebagai misi yang mustahil.
“Itu semua ada dalam diri kita sendiri, dan untuk mengatasi perasaan panik kita harus bekerja keras terutama dalam latihan.
“Kita perlu mengikuti kata hati kita dan tidak membiarkan apa-apa menghalangi kita untuk berjaya,” tambahnya dengan yakin.
Nur Dhabitah tidak pernah menyesal terlibat dalam acara terjun dengan mengatakan bahawa, memenangi sebarang pertandingan menambah detik terbaik dalam kariernya sebagai penerjun.
Namun, pada masa yang sama kecederaan yang dialami semasa latihan dan pertandingan ditakrifkan sebagai mimpi buruknya.
“Keluarga saya adalah motivasi terbaik ketika saya menantikan hasil bagi temasya di Tokyo 2021,” ujarnya lagi.
Add Comment