Bola Sepak Semasa Terkini

Nafuzi merendah diri, Devan akui kesilapan

Dominic meledak dua gol membantu kemenangan pasukan.

DISEBALIK tiga mata yang diraih, Terengganu FC (TFC) masih perlu memperbaiki beberapa kelemahan terutamanya dari segi kecergasan memandangkan pasukan hampir lima bulan tidak beraksi secara kompetitif.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, walaupun mereka tidak beraksi dalam tempoh tersebut namun pemain membuktikan kesungguhan untuk melakar kemenangan dan ianya terhasil.

“Walaupun kita menang, terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu kita lakukan, kerana kita tahu dalam perlawanan ini, PJ City FC banyak memberi tekanan kepada pemain saya.

“Mungkin kita tidak cukup sokongan daripada bahagian tertentu dan pergerakan pemain kita juga perlahan, disebabkan hampir lima bulan tidak beraksi secara kompetitif, dan banyak lagi kita perlu perbaiki terutamanya dari segi kecergasan,” katanya yang turut menghamburkan pujian aksi cemerlang dipamerkan barisan pemainnya termasuk penyerang import Dominic Da Slyva, yang meledak dua gol dalam perlawanan itu.

Sementara itu, pengendali PJ City FC K. Devan, mengakui kesilapan di bahagian pertahanan, jelas membawa padah kepada pasukan berkenaan, walaupun berjaya menguasai babak awal perlawanan.

“Saya rasa pertahanan kita perlu lebih berhati-hati dalam keadaan apa yang berlaku (serangan balas pantas) sekiranya kita ingin meningkat pada perlawanan akan datang,” jelas jurulatih berusia 53 tahun itu.

Pada aksi berkenaan, Da Slyva muncul wira skuad Penyu, selepas meledak dua gol masing-masing pada minit ke-31 dan ke-73, sekali gus membantu pasukan berkenaan naik enam anak tangga ke kedudukan ketiga carta Liga Super dengan kutipan tujuh mata selepas empat perlawanan.

Kekalahan itu, bagaimanapun, tidak mengubah kedudukan PJ City FC yang kekal menghuni tangga ke-10 daripada 12 pasukan, dengan pungutan empat mata selepas empat perlawanan (satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan).

 

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: