Bola Sepak Semasa Terkini

Dari Melawi ke Malaga

Allee Putra (dua,kiri) pada sidang majlis penyerahan surat pembiayaan oleh R2 Architect Sdn Bhd di sini hari ini.

SELEPAS penyerang muda B19, Luqman Hakim Shamsudin mengorak langkah melebarkan kariernya di Eropah kini tiba giliran Allee Putra Azril yang berkelana di Sepanyol untuk menyertai akademi antarabangsa, Malaga City FC, Jumaat ini.

Anak muda berasal dari Kampung Chabang Tiga, Melawi, Kelantan itu pernah mewakili skuad Piala Belia Perlis musim 2019 ketika berusia 14 tahun, namun tidak lama selepas skuad Singa Utara berdepan masalah kewangan turut mengimpikan harapan menyarung jersi Harimau Malaya pada masa akan datang.

Beraksi di posisi tengah dan pertahanan, bakat Allee Putra mula dikesan ketika bersama pasukan daerah Bachok bawah 23 tahun dan kini dia kini berkobar-kobar untuk mengembangkan bakat dalam bola sepak.

Bagi Allee Putra, pencapaian Luqman Hakim Shamsudin mengikat kontrak bersama kelab Belgium, KV Kortrijk, menjadi inspirasi dalam mengejar impian beraksi di Eropah.

“Harapan saya suatu hari nanti dapat mewakili Malaysia dan kelab di Eropah,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan surat pembiayaan oleh R2 Architect Sdn Bhd di sini hari ini.

Mengenai persiapan ke Sepanyol, anak tunggal kepada bekas pemain Piala Presiden Kelantan sekitar 1990-an, Azril Mohd Zawawi semuanya dalam keadaan baik dan dia tidak sabar untuk meraih pengalaman baharu.

Sementara itu, Pengarah R2 Architect Sdn Bhd, Ruslan Razak berkata pembiayaan kepada Allee Putra adalah khidmat sosial korporat firma arkitek terkemuka itu dalam menyokong pembangunan sukan, khususnya bola sepak.

“Bakat yang ada pada Allee Putra adalah sebab utama kami membiayai dari segi visa, yuran pengajian bahasa, penginapan, tiket penerbangan dan lain-lain keperluan.

“Malaga City FC menawarkan Allee Putra dua tahun pengajian yang mana dia ditawarkan tempat ke sana dan bukan memohon masuk akademi.

“Dia juga mendapat sokongan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), KBS (Kementerian Belia dan Sukan) serta KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan),” katanya.

Bapa Allee, Azril pula mengucapkan terima kasih kepada R2 Architect Sdn Bhd atas pembiayaan itu dan berharap pemergian anaknya ke Sepanyol akan menjadi titik tolak dalam mencapai cita-cita menjadi pemain bola sepak profesional.

Akademi FC Malaga City adalah sebuah akademi yang mengumpulkan pemain muda berbakat dari Sepanyol dan pelbagai negara, antaranya Amerika Syarikat, Brazil, Australia, Itali serta negara Eropah lain dan Afrika.

Pelatih juga berpeluang beraksi menentang pasukan akademi profesional lain termasuk Barcelona, Valencia, Sevilla dan Atletico Madrid.

Biodata :
Nama Penuh: Allee Putra Azril
Tarikh Lahir: 3 Ogos 2005
Asal: Bachok, Kelantan
Posisi: Tengah, Pertahanan
Tinggi: 165cm
Berat: 55kg
Pasukan / Kelab:
2020 – Akademi FC Malaga City
– Jajahan Bachok B-23
2019 – Belia Perlis B-19
2018 – Jajahan Ketereh B-23
2017 – Jajahan Bachok B-12

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: