Bola Sepak Semasa

Nafuzi hormati K Devan

Nafuzi memaklumkan skuadnya sudah mempunyai resipi tersendiri dalam usaha memburu keputusan positif.

DARI segi perbezaan pengalaman kejurulatihan, Terengganu FC sudah ketinggalan namun melihat kepada kesungguhan prestasi yang dipamerkan anak didik Nafuzi Zain ia pastinya menjanjikan aksi sengit menjelang pertembungan menentang Petaling Jaya FC, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Mengakui pengalaman yang dimiliki  ketua jurulatih Petaling Jaya FC (PJ City FC), K Devan khususnya dalam saingan Liga Malaysia, Nafuzi, 41  melihat faktor itu tidak boleh dijadikan ukuran kepada kemampuan skuad Pantai Timur itu.

Ujarnya, skuadnya sudah mempunyai resipi tersendiri dalam usaha memburu keputusan positif menjelang aksi pertama selepas berehat lebih lima bulan berikutan wabak pandemik Covid-19.

“Empat aksi persahabatan sebelum ini memberi saya peluang untuk melihat kelemahan yang dihadapi pasukan seterusnya mencari jalan terbaik untuk meningkatkan kemampuan pasukan. Jika dari segi pengalaman saya menghormati K. Devan yang memiliki pengalaman lebih besar dalam mengendali pasukan dalam Liga Malaysia.

“Apapun saya sangat berpuas hati dengan peningkatan ditunjukkan pemain dan saya harap kemenangan akan berpihak kepada kita. Diakui PJ City sebuah pasukan yang sukar kerana sebelum liga berhenti mereka berjaya tewaskan Pahang.

“Bagi saya kemenangan akan memberi satu keyakinan dan motivasi yang baik untuk pasukan dalam memulakan liga. Lagipun liga hanya bermain separuh jadi kita kena mengumpulkan mata sebanyak mungkin untuk menamatkan saingan liga dikedudukan terbaik musim ini.,” katanya.

Namun dalam pada masa yang sama, Nafuzi sedikit kecewa kerana tidak dapat menggunakan khidmat pemain kelahiran Singapura, Muhammad Faris Ramli ekoran masih berada dalam tempoh kuarantin yang akan berakhir dalam tempoh tiga hari lagi.

“Kita tidak dapat guna khidmat Faris kerana dia masih perlu menjalani tempoh kuarantin yang akan tamat dua atau tiga hari lagi. Tetapi kekosongan posisi itu tidak ada masalah kerana ada pemain yang mampu isi tempat itu,” ujarnya.

Antara pemain yang dilihat mampu memikul tugas di posisi sayap kiri termasuk bekas pemain Johor Darul Ta`zim II (JDT II), D Saarvindran serta dua pemain muda meningkat naik, Mohammad Rahmat Makasuf dan Muhammad Syafik Ismail.

 

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: