PENYERANG Inter Milan, Lautaro Martinez, tekad memburu trofi utamanya pada musim ini.
Peluang itu boleh digapai jika Inter menewaskan kelab La Liga, Sevilla pada pertembungan final di Koln, Jerman awal pagi esok
“Saya sangat gembira, kerana kami sudah sangat dekat dengan salah satu sasaran kami – untuk mengangkat trofi.
“Marilah dan berharap aksi terakhir kami (musim ini) boleh menjadi satu hari yang hebat, dan kami mahu membawa trofi ke Itali,” kata Lautaro, seperti dilapor Football Italia.
Lautaro memperkuat Inter sejak Julai 2018. Bintang berusia 22 tahun dari Argentina itu masih belum pernah merasai nikmat muncul juara bersama Inter.
“Saya secara peribadi ingin mencuba meraih gelaran pertama saya dengan Inter, dan itu akan sangat istimewa.
“Ini merupakan final pertama (bagi saya)..
ini juga kemungkinan bermaksud trofi pertama dalam karier saya,” ujar Lautaro lagi.
Bagaimanapun, tanpa berselindung Lautaro akui kehebatan pasukan lawan dan berharap Inter dapat berhati-hati sepanjang permainan yang pasti mendebarkan.
“Sevilla adalah lawan yang berat. Mereka menekan lawan di semua bahagian dan bermain dengan hebat,” katanya.
Sevilla adalah pemegang rekod gelaran lima kali juara UEFA Cup/Liga Europa (2005/06, 2006/07, 2013/14, 2014/15, 2015/16).
Tambah Lautaro lagi, wakil Sepanyol itu sama sekali bukan lawan yang mudah untuk dijinakkan.
“Sevilla sering ke final, dan itu bukan alasan. Itu bermakna mereka pasukan yang serius, pasukan yang bermain dengan baik. Kami harus berwaspada apa yang mereka akan lakukan,” tegas Lautaro.
Add Comment